HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Oktober 2021

Peluang PH ‘tawan’ Melaka tak cerah, dakwa Isham

 Ainul Illia

BN ada peluang menang 17 ke 21 kerusi DUN

BANGI – Pakatan Harapan (PH) sudah gagal di mata rakyat apabila tidak menunaikan janji-janji yang ditabur ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Justeru, jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan, PH tidak berpeluang untuk menang, demikian kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

“Ada wartawan tanya saya berkenaan peluang BN untuk menang jika pilihan raya di Melaka. PH kata mereka yakin menang. Saya tidak rasa begitu.

“Sebab ketika PH jadi kerajaan dahulu, mereka terbukti tidak tunai janji pilihan raya PRU-14 yang lepas, dan mereka telah gagal dalam mentadbir kerajaan semasa 22 bulan mereka memerintah sehingga keadaan ekonomi menjadi semakin teruk.

“PN pula terdiri daripada ramai pelompat parti, pengundi tidak suka amalan ini. Oleh itu rekod PH dan PN masih tidak baik malah buruk di mata rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini. 

Mengulas prestasi BN, Isham berkata, jika dilihat selama berdekad-dekad BN telah terbukti berjaya mentadbir negara dengan baik untuk kestabilan politik dan ekonomi dan untuk memulihkan negara dari krisis. 

“Sebab itu saya lihat jika pilihan raya negeri diadakan di Melaka, pada hemat saya BN ada peluang cerah untuk menang sekurang-kurangnya 17 ke 21 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk semula kerajaan negeri, dengan usaha kuat kita dan dengan izin Allah, insya-Allah,” katanya.

Meskipun begitu ramalannya, beliau berpandangan bahawa pilihan raya tidak sesuai diadakan pada masa ini. 

Pastinya, semua tidak mahu apa yang berlaku selepas PRN di Sabah dahulu berlaku pula di Melaka dan berjangkit ke negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Melaka mempunyai lebih kurang 500,000 pengundi, dan ramai daripada pengundi ini juga adalah pengundi-pengundi luar yang tinggal di luar Melaka. 

“Jika pilihan raya diadakan, kemungkinan besar pengundi-pengundi luar ini akan menghadapi kesukaran untuk mengundi atau merentas negeri. 

“Kita tidak mahu ada banyak kekangan kepada pengundi untuk mengundi, ini tidak baik untuk demokrasi dan keabsahan keputusan nanti,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, adalah baik jika pilihan raya ditangguhkan sehingga keadaan COVID-19 reda, seperti yang di Sarawak, Batu Sapi dan Gerik.

Namun, untuk menangguh pilihan raya, darurat perlu diisytiharkan, katanya.

“Darurat tidak perlu diisytihar di seluruh negara, tetapi boleh diisytihar untuk sesuatu kawasan atau negeri sahaja. 

“Dalam kes ini, untuk tangguh pilihan raya, kerajaan negeri Melaka atau Ketua Menteri Melaka melalui Perdana Menteri boleh nasihatkan Agong isytihar darurat Melaka, tangguh pilihan raya atas sebab-sebab keselamatan dan kesihatan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: