HALAMAN SANTAI

Sabtu, 16 Oktober 2021

Pembangkang tanding semua kerusi Melaka, ambil 3 bekas ADUN tarik sokongan


Semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditandingi blok pembangkang dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka nanti dan berkemungkinan besar akan meletak juga tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebelum ini.

Pakatan Harapan (PH) difahamkan akan meletak tiga ADUN kerajaan negeri yang menarik sokongan sebelum ini sebagai calon atas tiket mereka bagi menghadapi PRN Melaka, malah ketiga-tiga mereka sebelum ini sudah bertemu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut sumber, tiga ADUN tersebut adalah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Bagaimanapun, PH tidak akan mengambil Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) sebagai calon mereka atas alasan isu peribadinya selain ditolak oleh DAP, untuk rekod beliau bertanding atas tiket DAP sebelum ini.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata mereka mempunyai kelebihan berbanding mana-mana pihak lawan lain memandangkan pengagihan kerusi di Melaka akan lebih mudah dilaksanakan bagi mereka secara adil.

“Isu agihan kerusi bagi kami tidak begitu perit jika dibandingkan pihak di sebelah ‘sana’ dan saya menjangkakan setidak-tidaknya kita akan bertembung tiga penjuru di setiap kerusi tetapi mungkin juga lebih.

“Pun begitu, kami tidak boleh alpa dan leka atau menganggap laluan ini mudah tetapi yang penting kita memastikan gerak kerja berjalan lancar dan kesiapsiagaan mesti dalam keadaan terbaik,” katanya lapor sebuah portal.

Beliau juga yakin kerusi yang dahulunya dimenangi Bersatu atas tiket PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan dapat dirampas semula iaitu kerusi disandang Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Kedua-dua mereka sebelum ini bertanding menggunakan logo PKR di Melaka memandangkan ketika itu parti Bersatu belum diluluskan pendaftarannya.

“Dan saya jangka, kawasan yang telah dikhianati, di situlah kita akan menyaksikan semangat yang mungkin menjadi luar biasa kerana kita akan tahu sama ada pengundi bersedia menghukum pengkhianat mereka,” katanya.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membuat keputusan itu, susulan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti apabila empat ADUN ketika itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan UMNO.

Tiada ulasan: