HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Oktober 2021

Pembelian hotel di Bali tiada kaitan wang Yayasan Akalbudi: Peguam Zahid


Peguam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam hujahannya memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pembelian hotel butik di Bali tidak mempunyai kaitan dengan pemindahan dana Yayasan Akalbudi ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co.

Peguam Presiden UMNO, Hisyam Teh Poh Teik berhujah wang berkenaan masih di bawah kawalan Akalbudi, walaupun dipindahkan ke dalam akaun Lewis & Co yang kemudiaannya digunakan untuk membeli saham bagi membolehkan anak perempuannya membeli sebuah hotel butik di Bali, Indonesia.

“Malah dalam pertuduhan tidak menyentuh mengenai pembelian saham atau hotel butik di Bali.

“Sehubungan itu, hujah pendakwaan Ahmad Zahid perlu dipanggil membela diri atas tuduhan pecah amanah, disalah letak,” katanya.

Hisyam memberi hujah balas susulan semasa prosiding sebelum ini pihak pendakwaan berhujah Zahid mengarahkan sebahagian daripada wang deposit tetap berjumlah RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi dikeluarkan untuk membeli saham sebuah hotel butik di Bali, Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berhujah tertuduh diamanahkan dengan dana Akalbudi bagi tujuan spesifik, iaitu membasmi kemiskinan dan menaikkan kebajikan fakir miskin, selain menjalankan kajian serta penyelidikan.

Bagaimanapun, Raja Rozela, berkata tertuduh memberi arahan spesifik supaya semua wang daripada tujuh akaun deposit tetap Akalbudi dikeluarkan, sebelum memindahkannya menerusi cek bank kepada Tetuan Lewis & Co.

Raja Rozela kemudian bertanya: “Bagaimana menguruskan butik hotel di Indonesia membantu rakyat miskin di negara ini?”

“Dana dalam akaun Akalbudi digunakan untuk keuntungan peribadi tertuduh, iaitu Akalbudi tidak mempunyai sebarang hubungan atau kepentingan,” katanya.

Menurut Hisyam lagi, pihak pendakwaan perlu membuktikan elemen pertuduhan Ahmad Zahid melakukan pecah amanah, sebaik saja wang berkenaan dipindahkan daripada akaun yayasan.

Sementara itu, Hisyam turut berhujah, segala keterangan dan hujah oleh pendakwaan terhadap Ahmad Zahid tidak relevan.

Katanya, jelas pertuduhan terhadap Ahmad Zahid oleh pendakwaan ialah penyalahgunaan proses.

Hisyam berhujah demikian pada prosiding hujahan pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding hujahan bersambung 22 November ini.

Tiada ulasan: