HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Oktober 2021

PH tolak darurat, isu politik Melaka berbeza dengan Sarawak


Pakatan Harapan (PH) Melaka menolak cadangan mengisytiharkan darurat di Melaka bagi mengelak Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan tumbangnya kerajaan pimpinan UMNO.

Memberi alasan keadaan politik Melaka yang tidak sama dengan Sarawak, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata isu PRN Sarawak berbeza kerana negeri itu dipimpin oleh kerajaan yang mempunyai majoriti kukuh.

Katanya berbeza dengan Melaka yang sekarang ditadbir oleh kerajaan minoriti setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

“Di Melaka, tidak ada faktor ini kerana mempunyai kerajaan minoriti. Tidak wajar kerajaan yang hilang kepercayaan rakyat masih diberikan peluang untuk mentadbir kerajaan sementara,” katanya pada sidang media hari ini.

Justeru, Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata proklamasi darurat tidak wajar diisytiharkan di Melaka semata-mata untuk menghalang PRN diadakan dan mengekalkan kerajaan minoriti.

Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022, sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Dalam warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, baginda berpuas hati darurat besar iaitu wabak Covid-19 yang sedang berlaku menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

Di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P U (A) 324, memperuntukkan bagi tempoh darurat berkuat kuasa peruntukan Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri 2 Sarawak bahawa Dewan Undangan Negeri terbubar selepas 5 tahun daripada mesyuarat pertamanya tidak mempunyai kesan.

Kelmarin, ADUN UMNO Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Adly berkata penangguhan PRN Melaka hanya mewujudkan persepsi negatif dan kesan buruk terhadap negeri dan rakyat kerana negeri itu baharu sahaja memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, tidak wajar mengatakan Proklamasi Darurat bertujuan menjaga rakyat sedangkan ia memberi kesan sebaliknya.

“Meletakkan Melaka dalam keadaan darurat disebabkan ketidakstabilan politik adalah sesuatu yang buruk. PH negeri bersedia untuk kembalikan mandat kepada rakyat.

“Cuma, kita sangat sedih apabila kerajaan sedia ada yang hilang kepercayaan tidak menggunakan garis-garis perlembagaan dan proses yang betul, untuk kembalikan mandat rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan, pembubaran DUN Melaka, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan PRN di Melaka selepas DUN berkenaan bubar.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya menerima makluman rasmi daripada Rauf berhubung perkara berkenaan sebagaimana termaktub mengikut Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

Tiada ulasan: