HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Oktober 2021

PN muktamad agihan kerusi minggu ini, ketengahkan calon muda, profesional


Perikatan Nasional (PN) Melaka akan mengetengahkan calon profesional berkelulusan tinggi serta calon yang mempunyai semangat berkhidmat untuk rakyat.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, calon muda juga akan dipertimbangkan pada PRN kali ini sebagai salah satu persiapan berhadapan dengan pengundi berusia 18 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) yang dijangka akan diadakan tahun hadapan.

“Saya ada menerima pelbagai pencalonan daripada bahagian, srikandi dan armada yang mana selain calon yang berada dalam struktur tertinggi pimpinan, parti juga akan mengetengahkan calon profesional yang berkelulusan tinggi.

“Calon yang mempunyai semangat berkhidmat untuk rakyat, calon muda juga akan dipertimbangkan sebagai persiapan PN untuk berhadapan dengan Undi 18 pada Pilihan Raya Umum (PRU)15 nanti,” katanya dalam laporan Astro Awani.

Selain itu, Rafiq turut memberitahu, PN akan memuktamadkan agihan kerusi bersama parti komponen lain pada minggu ini.

Katanya, setakat ini kira-kira 50 peratus rundingan telah selesai antara Bersatu, PAS dan parti Gerakan sebelum ia diputuskan pucuk pimpinan.

“PN Melaka ada tiga parti komponen yang mana rundingannya masih berjalan dan insya-Allah senarai kerusi yang ditandingi akan dimuktamadkan oleh ketiga-tiga parti ini.

“Setakat ini lebih kurang 50 peratus rundingan telah selesai dan ada berbaki kira-kira 50 peratus lagi untuk kita muktamadkan minggu ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, setakat ini semua enam bahagian sudah menyerahkan senarai calon untuk dipertimbangkan sebelum diperhalusi oleh pucuk pimpinan parti.

Sehubungan itu, beliau yakin Bersatu di bawah gabungan PN akan mengemukakan calon yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Tiada ulasan: