HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 Oktober 2021

PN tolak tambah jawatan Timbalan Speaker, tidak ada dalam MoU Kerajaan, PH

KHAIRULANUAR YAHAYA

Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kerajaan dan Pakatan Harapan tidak termasuk untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Spekar Dewan Rakyat.

PERIKATAN Nasional (PN) berpendapat tidak ada keperluan untuk mewujukan satu lagi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Tertinggi PN berpendirian dua jawatan Timbalan Speaker sudah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat seperti yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, peruntukan Perkara 57(3) Perlembahaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan Mesyuarat Dewan Rakyat ketika ketiadaan Speaker dan Timbalan-Timbalan Speaker.

“Perikatan Nasional berpendirian bahawa persefahaman antara Kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani anatara YAB Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan pada 13 September 2021.

“Pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut.

“Justeru adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak menuntut pelaksanaannya. Atas dasar ini Perikatan Nasional telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika ini terdapat satu kekosongan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat berikutan peletakan  jawatan oleh Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said. Terdapat desas-desus supaya Kerajaan mewujudkan jawtaan Timbalan Speaker untuk Pakatan Harapan. -SM

Tiada ulasan: