HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Oktober 2021

PRN bukan pilihan utama, Yang Di-Pertua Negeri disyor cari jalan lain

Ainul Illia

Kempen pilihan raya bantutkan usaha kerajaan pulihkan negara

BANGI – Kemungkinan besar kes COVID-19 melonjak tinggi sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan, meskipun kadar pemberian vaksin ketika itu sudah melebihi 90 peratus. 

Ini berikutan majoriti penerimanya adalah di kalangan populasi dewasa sementara vaksinasi remaja sedang dilakukan dan kanak-kanak pula belum divaksin, kata penganalisis politik, Dr Mazlan Ali.

“Rakyat bimbang. Sekiranya kes naik sebab PRN Melaka, maka sia-sia lah usaha kerajaan selama ini, sedangkan kerajaan di peringkat Persekutuan sudah ada Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pembangkang. 

“Menunjukkan mereka menghormati kehendak Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) supaya tidak ada politiking yang berlebihan. Tetapi di Melaka berlaku sebaliknya kerana kepentingan pemimpin tertentu. 

“Pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah perkara yang sangat dibimbangi kerana pilihan raya akan membabitkan kempen, mobilisasi, pergerakan orang ramai yang mungkin boleh mencetuskan penyebaran wabak COVID-19,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau yakin negara mungkin memerlukan masa berbulan-bulan lagi untuk pulih dan keadaan ini pastinya memberi kesan terhadap keadaan ekonomi negara. 

“Rakyat pula terpaksa berdepan dengan PKP sekali lagi. Walhal sekoah dah nak dibuka, kemudian hendak ditutup balik. 

“Mesti rakyat marah. Sepatutnya PRN bukan pilihan utama. Yang di-Pertua Negeri sepatutnya mempertimbangkan pilihan lain,” katanya lagi.

Mengulas syor beliau itu, Dr Mazlan berkata, Tun Mohd Ali Rustam Mungkin boleh mencadangkan ahli politik yang bertelagah ini supaya berunding dan bekerjasama mencari satu penyelesaian. 

“Daripada segi prinsip demokrasi lihat siapa yang mempunyai undi majoriti. Orang itulah patut diberi mandat oleh Yang di-Pertua Negeri untuk menjadi Ketua Menteri. 

“Ataupun sekiranya tidak melihat itu sebagai pilihan baik, Yang di-Pertua Negeri boleh mengambil inisiatif untuk menghadap YDPA dan isytihar darurat di negeri Melaka. Ini supaya politiking ini dapat diredakan melalui satu perintah darurat,” katanya.

Beliau juga tegas berpandangan bahawa ahli-ahli politik yang terlibat dalam konflik perlu berunding semula untuk mencari penyelesaian. 

“Kalau di peringkat persekutuan boleh mendapat kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan melalui MoU, apa salahnya di Melaka dibuat benda yang sama. Dengan itu Datuk Seri Sulaiman Md Ali ini boleh mewujudkan kerajaan yang kukuh di Melaka,” katanya.

Pembubaran DUN Melaka berlaku selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan akibat tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.

Mengikut Perlembagaan, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Tiada ulasan: