Shuhada Abdul Kadir

Lim Guan Eng (tengah) ketika sidang media di pejabat DAP Melaka. - Astro AWANI
MELAKA:
DAP bertegas menolak bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Batu,
Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri
(PRN) Melaka.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memaklumkan perkara itu akan dibawa pada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
“Ada
yang tanya dan saya dengan tegas menyatakan DAP tolak sama sekali bekas
ADUN Pengkalan Batu sebagai calon dalam PRN negeri akan datang.
“Saya
tidak mahu sebut (alasan), tidak perlu pergi pada asal usulnya semua
pun tahu, DAP tetap tidak terima dia sebagai calon dalam PRN negeri,”
katanya dalam sidang media di pejabat DAP Melaka, di sini hari ini.
Norhizam
yang sebelum ini menang pada Pilihan Raya Umum (PRU)14 lalu atas tiket
DAP mengumumkan menjadi calon Bebas sekaligus memberi sokongan kepada
UMNO untuk membentuk gabungan kerajaan baru di negeri itu pada Mac tahun
lalu.
Beliau yang juga bekas Exco
Pertanian, Keusahawanan dan Industri Asas Tani sekali lagi membuat
langkah sama apabila bersama tiga lagi bekas ADUN mendakwa hilang
kepercayaan kepada kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga hilang
majoriti.
Mengulas lanjut, Guan Eng yang
juga bekas Menteri kewangan itu berkata, PH komited unuk memastikan
mandat rakyat dikembalikan pada PRN ini dan kekal menyatakan sokongan
kepada Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka.
“PH
menyatakan sokongan kepada Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri dan
saya harap tidak ada apa-apa kesangsian tentang perkara ini.
“Ini bukan hanya daripada DAP sahaja tetapi parti komponen yang lain kerana Adly menjalankan tugas yang baik,” tambahnya.
Semalam,
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian PRN Melaka
pada 20 November depan, hari mengundi awal pada 16 November manakala
penamaan calon pada 8 November.
Ia
susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terpaksa dibubarkan selepas
mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan