MALAYSIA POST
BEKAS Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak bersetuju dengan keghairahan beberapa pemimpin parti itu yang mengalu-alukan beberapa ‘watak kontroversi’ untuk bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Selain ‘watak-watak tersebut’ mempunyai rekod buruk, Rafizi berkata PKR tidak seharusnya menampilkan bekas Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) yang suka memaki hamun sebagai calonnya.
“Saya mendapat mesej yang bertubi-tubi menyatakan kegusaran tindakan mengalu-alukan beberapa watak kontroversi dalam menghadapi PRN Melaka.
“Pandangan saya, rakyat menjadi mangsa berdepan risiko wabak Covid-19 gara-gara perebutan kuasa dan kekayaan sesama pimpinan Umno/BN/PN.
“Watak-watak ini mempunyai rekod buruk serta akhlak Adun yang suka memaki hamun bukanlah jenis calon yang kita mahu tampilkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata mungkin ada keghairahan seorang dua pimpinan PKR yang melihat ia sebagai peluang untuk menjadi ‘orang besar’ di Melaka.
Namun katanya, janganlah keghairahan itu mempengaruhi keputusan dengan mencari jalan pintas.
“Pandangan saya ini atas rasa tanggungjawab sebagai seorang rakyat, pengundi dan aktivis veteran PKR/PH selama ini.
Kalau tak nak dengar pun, lantaklah tapi rakyat akan menilai,” katanya.
Kelmarin, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron kali pertama Idris berdiri di pentas Pakatan Harapan (PH) untuk berucap selepas bersama tiga lagi Adun yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Selain Idris, bekas Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; bekas Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan bekas Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan turut hadir pada program tersebut.
Idris dilaporkan berkata, beliau menyerahkan ‘nasib dan nyawa politiknya’ kepada PH dalam menghadapi PRN, 20 November depan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dilaporkan berkata kehadiran Idris bersama tiga Adun itu adalah atas jemputan pihaknya.
“PH Melaka cuba bina `khemah besar’ dalam perjuangan ini dan kehadiran empat bekas Adun berkenaan memberi semangat kepada kami untuk merealisasikannya,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Rafizi Ramli
Tiada ulasan:
Catat Ulasan