HALAMAN SANTAI

Isnin, 18 Oktober 2021

PRN Melaka: Sudah-sudahlah berebut mahu jadi ‘abang besar’

Oleh ZAAIN ZIN
SHAHIR ADNAN

KOTA BHARU: Semua parti yang membentuk kerajaan Persekutuan wajar melandaikan ego untuk menjadi ‘abang besar’ dan sebaliknya mengutamakan kepentingan rakyat dalam mencapai kata sepakat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Jika kekal dengan ego masing-masing, tidak mustahil mereka dihukum rakyat sekali lagi dengan lebih perit dan ketika itu mungkin tiada lagi yang sudi menghulurkan tangan kepada parti yang sedang lemas.

Peringatan itu disuarakan Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan yang berkata, berdasarkan senario politik hari ini, tiada lagi istilah ‘abang besar’ kerana tunjang kekuatan sesebuah parti kini bergantung kepada muafakat dalam gabungan.

“Buat Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi kerajaan hari ini, perlu ada kesepakatan dan gabungan mantap untuk menang PRN Melaka. Sejarah menunjukkan pertandingan tiga penjuru memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Contohnya, enam daripada 15 kerusi dimenangi PH dalam PRU-14 lalu, boleh kalah jika digabungkan undi BN dan Pas iaitu N07 Gadek, N09 Durian Tunggal, N14 Kelabang, N21 Duyong, N23 Telok Mas dan N24 Bemban,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahir yang juga Timbalan Pengerusi Ikatan Kelantan berkata, PRN Melaka diharap menyuburkan proses demokrasi di negara ini sebagai platform untuk rakyat bersuara di samping menghukum wakil rakyat yang mementingkan diri setelah dipilih pada PRU-14. 

Katanya, PRN Melaka juga diharapkan tidak mencemarkan sistem demokrasi negara seterusnya menghina rakyat dengan situasi ‘katak melompat-lompat’ seperti keadaan politik hari ini.

“Dewan Pemuda Ikatan berharap semua parti politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang perlu mendahulukan rakyat, mengamalkan politik matang dan menghindari diri daripada menghamburkan kata-kata menyakitkan hati parti lain.

“Mencemuh dan menuding jari kepada parti lain menunjukkan ketidakmatangan, walaupun sebilangan besar mereka adalah pemimpin berpengalaman berusia warga emas. Rakyat terutama pengundi baharu akan menghukum pemimpin begini,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: