HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Oktober 2021

Termakan bisikan syaitan mahu pecahkan MN, PN, kata pemimpin kanan PAS

AGENDA DAILY

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengingatkan akar umbi parti itu dan UMNO mengenai kelompok yang terpengaruh dengan ‘bisikan syaitan’ yang menghasut supaya hubungan perpaduan yang wujud, termasuk dengan Bersatu, pecah.

Mengimbas pembentukan Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019, beliau berkata perpaduan dua parti itu sekali gus menghapuskan perbalahan orang Melayu Islam di Malaysia sejak 41 tahun lalu.

“Ia detik yang sangat bersejarah. Seterusnya berjaya pula berpadu dengan PBBM (Bersatu) dengan tertubuh Perikatan Nasional.

“Siri-siri perpaduan ini adalah kejayaan umat yang sangat dicemburui oleh musuh. Nikmat kebersamaan dalam Kerajaan Persekutuan hari ini memang benar-dibenar dicemburui musuh.

“Suara-suara halus syaitan sentiasa berbisik dan menghasut untuk dirungkaikan kesatuan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini tanpa mengaitkan kelompok mana yang beliau anggap tergoda dengan bisikan syaitan itu.

Namun kenyataan beliau yang dimuat naik dalam Facebook rasminya jam 4.35 petang tadi menyusul beberapa jam setelah media melaporkan mengenai kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa parti itu akan bertanding secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Zahid dilaporkan berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bekerjasama dengan parti lain, termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam MN atau Bersatu.

Beliau turut menyebut berkaitan pengkhianatan berulang kali terhadap UMNO sewaktu mengulas berkenaan MN, namun tidak memberikan penjelasan lanjut maksud kenyataan itu.

“Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan, saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang pernah diadakan.

“Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan, insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik,” kata Zahid dalam satu wawancara atas talian, malam tadi.

Mengulas lanjut Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata perpaduan yang wujud itu adalah kejayaan besar umat Islam yang perlu dipertahan dan diperkasakan.

“Kepada para pemimpin, lihatlah para penyokong dan pendokong parti di bawah dan di kampung-kampung yang bergembira atas perpaduan ini. Jangan biarkan ia dihancurkan oleh tangan yang berkepentingan duniawi,” katanya.

Tiada ulasan: