HALAMAN SANTAI

Isnin, 18 Oktober 2021

Tindakan abang tubuh Parti Kuasa Rakyat bukti negara amal demokrasi – Ismail Sabri

 Syahira Yahya

MGP171021006
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

BERA – Malaysia merupakan sebuah negara yang megamalkan demokrasi bagi membolehkan sesiapa sahaja menubuhkan parti politik di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bukannya fenomena baharu dan tindakan abangnya menubuhkan Parti Kuasa Rakyat membuktikan negara ini mempraktikan amalan tersebut.

Ismail Sabri yang menganggap perkara itu adalah biasa berkata, tiada isu perbalahan kerana apabila mengimbau peristiwa lepas yang  mana beliau pernah bertanding mewakili Barisan Nasional manakala abangnya, Kamarazaman Yaakob, pula mewakili parti lain.

“Bagi saya itu terserah kepada abang, kerana itu adalah amalan demokrasi dalam negara kita dan bukanlah perkara baharu satu keluarga menyertai pelbagai parti politik.

“Tidak timbul isu pertelingkahan, dulu masa saya jadi wakil calon kepada Tan Sri Sabbaruddin Chik di Parlimen Temerloh dia (abangnya) bertanding Parlimen mewakili Semangat 46,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu berkata demikian selepas Majlis Kenaikan Pangkat Ketua Polis Daerah Bera dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bera di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, di sini, hari ini.

Pada 10 Oktober lalu, Kamarazaman yang Parti Kuasa Rakyat berkata, parti itu akan berjuang dalam menuntut hak-hak dan keperluan golongan itu serta anak muda melibatkan beberapa perkara asas yang diperlukan.

Parti Kuasa Rakyat ditubuhkan bagi memperjuangkan nasib rakyat terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta anak muda dan akan bersuara, bergerak dan berjuang dalam menuntut hak-hak dan keperluan golongan berkenaan dan anak muda. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: