HALAMAN SANTAI

Isnin, 18 Oktober 2021

UMNO perlu bertindak ikut kekuatan semasa - Mohamed Nazri

KUALA LUMPUR: UMNO perlu bertindak selari dengan kekuatan dan kelemahan yang dimiliki parti itu pada masa ini.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata semua pemimpin dan ahli UMNO perlu menerima hakikat bahawa parti itu masih lemah dan belum kuat selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, antara kekuatan yang dimiliki ialah penubuhan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS yang juga satu perjuangan murni untuk agama, bangsa dan negara.

"Kita kena ikhtiar bersungguh-sungguh memastikan supaya kerjasama ini akan berterusan kerana jelas di peringkat akar umbi, mereka sudah tidak mahu lagi Melayu berpecah.

"Dalam hal ini kita mengadakan MN dengan PAS secara besar-besaran meterai piagam. Jadi, jangan kita bersendirian ambil keputusan tanpa kita bertanya penyokong di bawah," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas hubungan dengan BERSATU, Mohamed Nazri, berkata perkara itu perlu ditangani secara matang, apatah lagi UMNO sendiri jauh lebih kuat berbanding parti serpihan itu.

Katanya, hayat BERSATU juga dijangka berakhir apabila Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersara dari politik dan selepas itu tidak mustahil ramai ahlinya kembali ke pangkuan UMNO.

"Dulu teraju utama negara bukan orang UMNO, bolehlah kalau kita nak merajuk. Tetapi sekarang Perdana Menteri dari UMNO, maka cara kita uruskan parti rakan sekutu seperti PAS dan BERSATU mestilah berbeza dan matang," katanya.

Selain itu, Nazri berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak sepatutnya dipengaruhi emosi dan kepentingan peribadi dalam membuat keputusan berkenaan kerjasama politik dengan parti lain termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, kepentingan parti dalam apa jua keadaan hendaklah menjadi keutamaan manakala masalah peribadi tidak boleh 'dinaik taraf' sebagai masalah parti.

"Jangan kerana terkesan daripada apa yang telah berlaku di antara PAS dengan BERSATU, dijadikan sebagai hukuman oleh parti kita untuk tak kerjasama dengan PAS.

"Kita tahu Ahmad Zahid kecewa, tetapi apabila ada masalah peribadi, jangan jadikannya masalah parti, kita kena bincang terlebih dahulu," katanya.

Ahmad Zahid ketika diwawancara dalam satu program yang disiarkan secara dalam talian pada Isnin lalu, berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS.

Bagaimanapun semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan soal kerjasama dalam PRN Melaka masih belum diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Tiada ulasan: