HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 Oktober 2021

Zahid mahu putus kerjasama dengan PAS, yakin sapu bersih


Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat mahu memutuskan kerjasama dengan PAS, malah akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan pilihan raya umum (PRU)  secara bersendirian atas bendera Barisan Nasional (BN).

Presiden UMNO itu berkata kerjasama yang dijalin dalam Muafakat Nasional (MN) sudah tidak relevan lagi, selain persefahaman itu juga tidak pernah didaftarkan secara rasmi ia tidak menjadikan UMNO terikat dengan sebarang syarat untuk meneruskan kerjasama.

“Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK (pilihan raya kecil) yang pernah diadakan,” katanya dipetik dalam satu wawancara semalam.

Jelas Zahid, keputusan memutuskan kerjasama dengan PAS juga sama dengan langkah yang diambil terhadap Bersatu sebelum ini dan berharap ahli-ahli UMNO akan menghormati pendirian tersebut.

“Ketetapan telah dibuat dan saya sebagai presiden menghormati bahawa dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

“Saya fikir itulah kehendak di kalangan ahli-ahli UMNO dan kepimpinan UMNO di seluruh negeri Melaka. Saya harap mereka yang mendengar apa yang saya nyatakan ini adalah ekoran daripada suara hati dan suara hati politik mereka,” katanya.

UMNO semasa Perhimpunan Agung 2020 pada Mac lalu membuat ketetapan memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu, ia juga menyaksikan 15 Ahli Parlimen (MP) yang dikepalai Zahid menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Zahid sebelum itu merancang pakatan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Muhyiddin, ia susulan pendedahan klip audio tular antara kedua-dua mereka sebelum ini.

Zahid juga bersama rakannya, Datuk Seri Najib Razak turut menghantar surat menyatakan sokongan terhadap Anwar ke Istana Negara sehingga menyaksikan berlaku satu lagi kemelut politik negara.

Muhyiddin meletak jawatan pada Ogos lalu seleps hilang majoriti angkara 15 MP yang diketuai Zahid sendiri, namun mengambil pendekatan secara diplomasi apabila mencalonkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Ismail Sabri akhirnya menjadi PM baharu menggantikan Muhyiddin dan meredakan ketegangan politik yang melanda negara.

Zahid yang terpalit puluhan pertuduhan di mahkamah bagaimanapun masih meneruskan usahanya untuk menjatuhkan kerajaan Ismail Sabri pula apabila dilihat cuba mencari masalah dengan PAS kini.

Tiada ulasan: