HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 Oktober 2021

Zahid penandatangan tunggal cek Yayasan Akalbudi, guna dana sesuka hati: Pendakwaan


Mahkamah Tinggi  Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi hanyalah boneka yang dikawal oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan dilantik bagi memenuhi kerusi jawatan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, turut berhujah Zahid mempunyai kawalan penuh ke atas ahli lembaga pemegang amanah yayasan.

“Apabila seseorang individu mempunyai kawalan ke atas ahli lembaga pemegang amanah, maka beliau dapat mengawal keseluruhan Yayasan Akalbudi,” katanya lapor Berita Harian.

Raja Rozela turut berhujah bahawa Zahid juga mempunyai akses penuh ke atas akaun bank dan adalah penandatangan tunggal cek Yayasan Akalbudi.

Sehubungan itu, katanya, tertuduh berada dalam kedudukan di mana beliau boleh menggunakan dana yayasan sesuka hatinya.

“Beliau juga mempunyai kebolehan untuk menentukan kemasukan dan pengeluaran dana Akalbudi.

“Malah, pendakwaan berhujah bahawa Zahid menggunakan kuasanya apabila beliau menyalahgunakan dana Akalbudi untuk kegunaan peribadi,” katanya.

Raja Rozela turut berhujah bahawa pada awalnya, Zahid dan Samsuri Tun menjalankan tugas bersama untuk menandatangani cek Akalbudi.

“Bagaimanapun, dalam keterangan Samsuri, beliau menyatakan sudah beberapa kali menandatangani cek Yayasan Akalbudi secara pra-tandatangan (pre-signed) tanpa mengetahui kegunaan cek-cek berkenaan atas arahan tertuduh.

“Samsuri kemudian meletak jawatan menerusi surat bertarikh 4 April 2012,” katanya.

Raja Rozela berhujah, Zahid kemudian mengarahkan Prof Dr Zulkifli Senteri meletakkan jawatan tanpa dimaklumkan alasan mengenainya.

Katanya, jawatan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi kemudian diisi oleh Muhammad Nabil Saleh and Datuk Khairuddin Tarmizi.

“Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak menandatangani cek Akalbudi.

“Menerusi Resolusi Pekeliling Ahli Lembaga Pemegang Amanah bertarikh 4 April 2012 yang ditandatangani oleh Muhammad Nabildan Khairuddin, tertuduh diletakkan sebagai penandatangan tunggal cek Akalbudi, yang berkuatkuaa pada 20 Jun 2013,” katanya.

Raja Rozela berhujah demikian pada prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Tiada ulasan: