HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Julai 2008

BPR siasat Musa, Gani
Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN


PUTRAJAYA - Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengambil alih siasatan polis berhubung laporan daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang mengesahkan perkara itu, memberi jaminan BPR akan segera menyiasat laporan polis tersebut yang mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat dalam kes pemalsuan keterangan Anwar dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.

Menurutnya, BPR sudah menerima laporan tersebut daripada polis Selangor petang semalam.

"Untuk bersikap adil dan tidak berat sebelah, BPR akan siasat kes ini sebab kalau polis siasat nanti... ada kata berat sebelah.

"Kita akan rekodkan kenyataan Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Anwar sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara BPR dengan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bertujuan memastikan jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dapat dibanteras secara terancang, sistematik, bersepadu dan berterusan.

KDRM diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Rahman Abdul Hamid.

Ditanya adakah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut, Ahmad berkata, Bahagian Siasatan BPR diketuai Pengarah Siasatannya, Datuk Mohd. Shukri Abdull.

"Kita sudah ada pasukan siasatan sendiri, tak perlu pasukan khas, pengarah kita boleh siasat," katanya.

Semalam, Anwar dalam laporan polisnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat dalam kes pemalsuan keterangan beliau dipukul oleh Abdul Rahim pada 1998.

Abdul Gani ketika itu ialah Timbalan Pendakwa Raya (DPP) paling kanan manakala Musa merupakan ketua pegawai penyiasat kes yang membabitkan Anwar.

Ahmad Said meminta orang ramai memberi masa kepada BPR untuk meneliti laporan itu terlebih dahulu.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, siasatan BPR ke atas pemimpin politik yang didakwa melakukan rasuah semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lepas masih berjalan.

"Ini bukan perkara baru... sebelum pilihan raya lagi kita sudah mula siasat, sebarang tawaran membabitkan rasuah kita siasat," katanya.

Tiada ulasan: