Nekad jual buah pinggang bagi menyara keluarga
PULAU PINANG: Seorang lelaki yang mengalami kesempitan hidup menawar untuk menjual buah pinggangnya "pada harga yang berbaloi" untuk membolehkannya memulakan pernigaan kecil-kecilan untuk menyara keluarganya.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Murali, 35, yang diisytiharkan muflis oleh mahkamah gara-gara pinjaman yang tidak pernah dilakukannya berkata, dia membuiat keputusan menjual buah pinggangnya demi anak-anaknya.
"Kehidupan kami sekeluarga dihimpit kemiskinan kerana saya sendiri tiada kudrat untuk bekerja berikutan menghidapi penyakit lelah kronik, manakala tiga daripada empat anak saya masih bersekolah. Tekanan hidup saya bertambah apabila diisytihar muflis berikutan ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan dokumen pengenalan saya yang pernah hilang untuk membuat pinjaman bank berjumlah RM36,000.
"Yang lebih menyedihkan, akaun bank saya turut dibekukan dan saya tidak boleh membuat sebarang pinjaman lagi atau mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk memulakan perniagaan bagi menyara hidup kami," kata bekas ejen pengutip hutang itu kepada Bernama, di sini hari ini.
Murali yang menetap di Georgetown sejak 19 tahun lepas berkata dia tidak meletakan harga bagi buah pinggangnya itu tetapi berharap tawaran yang bakal diterimanya adalah berbaloi.
Walaupun menghidap penyakit lelah, pemeriksaan kesihatan yang dijalaninya mengesahkan bahawa buah pinggangnya dalam keadaan baik dan boleh dipindahkan kepada mana-mana pesakit yang memerlukannya, katanya.
Ditanya sama ada keluarganya tahu tentang hasratnya itu, Murali berkata isterinya yang berumur 38 tahun serta dua anak lelaki dan dua anak perempuannya yang berusia antara lima dan 14 tahun sedih dan menangis selepas dia memaklumkan perkara itu kepada mereka.
"Mereka sedih dan menangis, tetapi saya tetap nekad untuk menjual buah pinggang saya kerana tiada pilihan lain, hanya itu harta yang saya ada sekarang ini," katanya yang turut sedih.
Murali kini menyara keluarganya menerusi pencen ilat yang diterimanya daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM368 sebulan sejak dia terpaksa berhenti kerja pada 2005 serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakt (JKM) sebanyak RM100 sebulan bagi setiap anaknya sejak tahun lepas.
"Dengan wang bantuan yang diterima inilah saya menyara keperluan harian, persekolahan dan makan minum keluarga, kadang-kadang bila tidak mencukupi saya terpaksa pinjam wang dari kawan-kawan," katanya.
Murali berkata isterinya tidak bekerja kerana tidak mempunyai pendidikan serta mempunyai masalah kesihatan berkaitan payu dara dan pernah menjalani pembedahan kecil sebanyak lapan kali.
"Selepas membuat keputusan untuk menjual buah pinggang, isteri saya juga menyuarakan hasrat untuk menjual buah pinggangnya tetapi saya tidak membenarkan kerana keadaan kesihatannya tidak berapa baik, lagipun biarlah saya seorang yang berkorban," katanya.
Dia menegaskan bahawa pendedahan ini bukan mahu meraih simpati sesiapa tetapi adalah untuk mencari mereka yang sanggup membantunya dengan membeli buah pinggangnya.
"Saya sangat berharap agar ada pihak yang sanggup beli buah pinggang saya. Saya juga tidak kisah sama ada pembeli itu dari dalam atau luar negara, yang penting ia dapat dijual bagi membolehkan kami sekeluarga meneruskan hidup," katanya.
Orang ramai yang berminat untuk menghulurkan bantuan atau membeli buah pinggang Murali, boleh menghubunginya di talian 014-6002714. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan