‘Harga tidak munasabah’
Oleh Meor Hisham Zulkifli
TANDA harga lebih RM 11 juta untuk Sistem Perisian Keputusan Sukan Malaysia (Sukma) yang terbengkalai, turut menggamit hairan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menegaskan, program untuk Sukan Komanwel 1998 dan Sukan Sea 2001 adalah jauh lebih murah.
Sambil menyifatkan harga yang diluluskan itu sebagai tidak munasabah, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, berkata gejala menangguk di lubuk emas ini perlu segera ditangani bagi mengelak pembaziran wang berjuta-juta.
“Saya hairan mengapa MSN (Majlis Sukan Negara) tidak menggunakan perisian yang sudah terbukti dan ditawarkan dengan harga RM 1.8 juta sebaliknya memilih perisian baru dengan harga lebih RM 11 juta tetapi belum tentu keberkesanannya.
“Sebenarnya masih banyak cara yang mampu dilakukan untuk mengurangkan kos bagi membangunkan perisian penganjuran sukan, namun persoalan kini adalah, mengapa mereka lebih suka mendapatkannya dengan harga mahal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kok Chi memperincikan betapa program teknologi maklumat acara sukan yang lebih besar, seperti Sukan Komanwel yang diadakan di negara ini pada 1998, hanya membabitkan kos RM 10 juta tetapi pembekal ketika itu turut menyertakan semua perkakasan dan perisian.
“Begitu juga dengan ketika Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 apabila pembekal yang menyediakan program, turut membekalkan perkakasan yang kos keseluruhannya adalah sekitar RM 5 juta.
“Jadi mengapa untuk Sukma, harga perisian saja menjadi begitu tinggi, jauh lebih tinggi untuk dua acara sukan yang membabitkan serantau dan dunia. Tanda tanya ini perlu mendapat jawapan segera,” katanya.
Katanya, anasir yang cuba menangguk di air keruh ini sebenarnya berlindung di sebalik dakwaan terhadap sesuatu yang kabur dan sukar diperiksa kerana perisian bukan seperti perkakasan yang jelas kelihatan dari luar.
“Jadi keadaan seperti itu mengundang pihak tertentu mengambil kesempatan. Mungkin kos asal begitu rendah tetapi dijual dengan harga keterlaluan,” katanya.
Pada Sukan Sea Vietnam 2003, katanya, MOM menyediakan bantuan kepakaran kepada tuan rumah tanpa membabitkan mengeluarkan modal besar dalam penyediaan program keputusan serta akreditasi menggabungkan kaedah manual dan sistem rangkaian internet.
“Mereka memanfaatkan sistem berasaskan rangkaian internet dan nyata berpuas hati kerana tidak banyak wang dibelanjakan, sedangkan ketika itu ada syarikat dari Malaysia menawarkan mereka harga RM250,000 untuk perisian saja.
“Di Manila pada 2005 juga menggunakan kaedah yang diperkenalkan MOM itu dan semua keputusan, sistem akreditasi, maklumat pengangkutan dan sebagainya, mampu berjalan dengan lancar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan