Kerajaan buka semula permohonan lesen teksi kepada individu
Utusan Online
KUALA LUMPUR — Kerajaan membuka semula permohonan lesen teksi kepada individu secara berperingkat mulai 15 Julai lepas hingga 14 Okt depan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar berkata pemberian lesen teksi individu itu bagaimanapun mempunyai beberapa syarat.
“Antara syarat yang dikenakan ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan berumur tidak melebihi 60 tahun pada tarikh permohonan dibuat,” katanya ketika menjawab soalan Senator Heng Seai Kie. Heng ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menyemak semula sistem pengeluaran lesen teksi semasa supaya ia diberikan kepada pemandu teksi tulen secara individu dan tidak lagi kepada syarikat yang berperanan sebagai penyewa lesen. Sehingga 31 Dis tahun lepas, Lembaga Perlesenan dan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengeluarkan sebanyak 31,760 lesen teksi.
Daripada jumlah itu, 9,487 dikeluarkan untuk individu manakala 22,273 lesen lagi untuk syarikat yang kemudiannya menyewakan lesen itu kepada pemandu teksi pada kadar RM30 hingga RM40 sehari.
Kepada soalan tambahan Senator Datuk Syed Ali Alhabshee, Noh berkata pemandu yang berusia 60 tahun boleh membuat pinjaman bank untuk mendapatkan lesen teksi dengan syarat mereka mempunyai pemandu kedua seperti anak dan sebagainya.
“Mana-mana pemandu yang mencapai umur 60 tahun boleh mengemukakan pinjaman dengan syarat ada pemandu kedua seperti anak ataupun sesiapa sahaja yang sanggup mengendalikan teksi mereka sekiranya pemohon ataupun pemandu pertama itu tidak lagi membawa teksi,” katanya.
Syed Ali ingin tahu sama ada pihak kementerian akan mengkaji semula pemberian lesen teksi ini kerana pemohon yang berumur 60 tahun kadang-kadang gagal mendapatkan pinjaman daripada bank.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan