HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Julai 2008

(Mutakhir)

Anwar: Polis gugur maklumat hubungan Najib-Altantuya
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Pada sidang akhbar hari ini - yang ketiga selepas dakwaan meliwat yang terbaru didedahkan Sabtu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, polis telah menggugurkan maklumat penting tentang hubungan antara Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. yang diberikan oleh bekas penyiasat peribadi Abdul Razak Baginda, P. Balasubramaniam dua tahun lalu.

Maklumat itu dinyatakan dalam akuan bersumpah bertarikh 1 Julai 2008 yang dibuat oleh Balasubramaniam.

Balasubramaniam merupakan salah seorang saksi kes pembunuhan Altantuya yang kini telah masuk peringkat penghujahan pendakwaan.

Ia merupakan akuan bersumpah kedua melibatkan nama Timbalan Perdana Menteri dan keluarganya dikeluarkan.

Dua minggu lalu, penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mengeluarkan akuan bersumpah yang mengaitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya.

Najib telah pun menyifatkan ia sebagai satu penipuan yang bertujuan mencemarkan imej politik beliau.

Ketika mengumumkan kandungan akuan bersumpah Balasubramaniam di sini pagi ini, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Balasubramaniam pernah memberikan maklumat berkenaan kepada polis, tetapi ia tidak dibawa ke mahkamah semasa perbicaraan.

"Hari ini kita menyaksikan satu lagi episod petang yang konsisten mengenai penyalahgunaan kuasa dan manipulasi sistem kehakiman jenayah," kata beliau pada sidang akhbar di sini sambil menambah, "perkara ini adalah kaedah yang sama iaitu memanipulasi maklumat dan tidak direkodkan seperti yang berlaku dalam kes saya tahun 1998."

Balasubramaniam dan peguamnya, Americk Singh Sindhu juga hadir pada sidang media itu.

Anwar mengadakan sidang akhbar pertama selepas berhadapan dengan isu dakwaan meliwat pada Isnin lalu sejurus ketika keluar dari berlindung di rumah Duta Turki di Kuala Lumpur.

Sidang akhbar susulan diadakan kelmarin selepas membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

Sabtu lalu pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa beliau diliwat oleh bekas timbalan perdana menteri itu di sebuah apartmen mewah di Damansara Heights di sini pada 26 Jun lalu.

Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu dan berkata ia adalah konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya.

Khidmat Balasubramaniam telah digunakan oleh Razak Baginda untuk menangani dakwaan gangguan berterusan daripada Altantuya.

Kata Anwar, "hari ini beliau mengeluarkan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai 2008 kepada umum dengan memperincikan cerita yang beliau mengetengahkan dan apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang diperkatakan oleh beberapa personaliti dalam saga ini termasuk Abdul Razak Baginda dan Altantuya."

Kata Anwar lagi, kenyataan Balasubramaniam juga mendedahkan tahap hubungan antara Altantuya dan Najib.

"Bukti Balasubramaniam ini mendedahkan apa yang kami perkatakan sekian lama; tiada penyiasatan teratur berhubung kes Altantuya," katanya lagi.

Kata Anwar, dakwaan-dakwaan itu memerlukan penubuhan sebuah surahanjaya diraja untuk menjalankan siasatan.

Setakat ini kes pembunuhan Altantuya telah berlangsung selama 124 hari.

Mulai 23 Julai ini, mahkamah akan mendengar lima hujahan dalam perbicaraan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah menutup prosiding pada peringkat kes pendakwaan yang masuk hari ke-124 pada 23 Jun lalu.

Dalam akuan bersumpah setebal 16 muka surat itu, Balasubramaniam meminta pihak berkuasa membuka semula siasatan kes pembunuhan Altantuya.

Kata Balasubramaniam, terdapat kemungkinan yang kuat ada tiga lagi individu memainkan peranan penting selain tiga tertuduh yang sedang menghadapi kes tersebut.

Tiada ulasan: