Polisi ekonomi 'pak pandir' undang krisis lebih parah - Dr Dzul
Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR- Dr Dzulkifli Ahmad (PAS-Kuala Selangor) mengingatkan kerajaan bahawa ekonomi negara ini sudah mula menghadapi stagflasi akibat tindakan kerajaan yang membuka pintu inflasi.
Ini kerana katanya, separuh daripada 10 juta pekerja di dalam negara ini telah tergendala dalam aktiviti ekonomi kerana kenaikan kos akibat kenaikan harga minyak.
"Apabila kerajaan membuka pintu inflasi keadaan ini telah mengundang stagflasi dan keadaan ini mungkin akan mengundang malapetaka kepada rakyat," katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-9.
Katanya, stagflasi ini berlaku seiring dengan pengangguran yang tinggi akibat daripada inflasi yang tinggi.
Apabila rakyat hilang kuasa membeli akibat inflasi, syarikat-syarikat kecil ujarnya, akan bertindak membuang pekerja kerana barangan dan perkhidmatan mereka kurang mendapat permintaan.
Katanya, laporan separuh penggal RMK-9 dibuat berlatarbelakangkan masalah ekonomi global seperti krisis bekalan minyak dunia dan kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat telah memporakperandakan harga komoditi minyak, jagung, gandum, soya, dan beras.
Di samping itu katanya, negara-negara maju dan negara kelompok iaitu Brazil, Rusia, Cina dan India telah membuat permintaan yang tinggi kerana kekayaan baru yang dicapai.
"Kita boleh salahkan mereka ini dengan permintaan yang tinggi akibat dari kekayaan baru yang mereka capai tetapi adakah kita menyalahkan mereka bagitu sahaja tanpa memikirkan kaedah menanganinya," kata beliau.
Beliau juga menegaskan, tindakan kerajaan menarik balik subsidi bernilai RM13.7 billion akan membabaskan projek-projek RMK-9 dan mendorong inflasi.
Dzulkifli juga meramal tiga bulan akan datang industri kecil sederhana akan gulung tikar kerana kenaikan kos seperti sektor industri pembinaan yang menghadapi kenaikan harga simen, keluli dan pasir.
"Apa yang kerajaan laksanakan ini saya sebut sebagai polisi pak pandir. Sebab apa? Setelah kita buka pintu inflasi kemudian kita mahu tutup semula umpama setelah kita buka kandang lembu dan lembu sudah lari keluar sekarang ini kita nak hambat balik lembu.
"Dengan cara apa? Dengan cara kita berikan rebat, berikan pelbagai insentif, gaji dua kali sebulan, pekerja awam dibenarkan bekerja dua kerja satu masa, tetapi semua ini akan meninggalkan kesa yang parah," tegas beliau.- tajdid _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan