Abdul Rahim Sabri
Hashim Jasin diisytiharkan pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang buat kali ketiga berturut-turut selepas Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya hari ini.
Panel tiga orang hakim sebulat suara memutuskan kerusi itu dimenangi wakil rakyat itu, yang juga pesuruhjaya PAS Perlis, dan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac lalu dibatalkan.
Hakim-hakim memutuskan satu pilihanraya kecil tidak perlu diadakan.
Hashim memperolehi kerusi tunggal PAS itu sejak pilihanraya umum 1999 tetapi akibat kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi dalam pilihanraya umum lalu, beliau diisytiharkan tewas di tangan Abdullah.
Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kangar mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas menerima permohonan petisyen yang dikemukakan oleh Hashim.
Bagaimanapun, mahkamah pilihanraya itu menolak permohonannya untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi DUN tersebut.
Mahkamah itu bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk menentukan sama ada pilihanraya kecil perlu diadakan serta bila akan diadakan.
Hashim kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan supaya beliau diisytiharkan pemenang di Sanglang.
Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2004 dengan majoriti 45 undi, mengalahkan calon BN Datuk Mastika Junaidah Husin.
Dalam pilihanraya umum Mac lalu, PAS melalui calonnya Rus'selle Ezlan menguasai satu lagi kerusi, Simpang Empat, dengan majoriti 53 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan