HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 September 2008

Ka Chuan, Jui Meng tanding dua jawatan tertinggi MCA

Oleh LEE YAN XIU
(Dikemas kini)


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng masing-masing mengumumkan mereka akan bertanding jawatan Timbalan Presiden dan Presiden dalam pemilihan bulan depan.

"Saya mendapat ilham untuk bertanding bagi jawatan Presiden MCA," kata Chua Jui Meng.

Beliau mengumumkan secara rasminya pada hari ini bahawa beliau bersedia untuk memperjuangkan kerusi tertinggi MCA.

"Selepas berfikir dengan teliti serta bertukar pandangan dan menerima maklum balas daripada akar umbi, saya mengambil keputusan untuk bertanding," katanya.

Chua berkata kini MCA berada dalam keadaan yang amat kritikal dan beliau tidak sanggup meninggalkan rakan-rakannya pada masa ini.

"Saya rasa MCA perlu mempunyai pemimpin yang berpengalaman untuk mewakili masyarakat Cina bagi berunding dengan pemimpin-pemimpin lain yang berpengalaman dalam kabinet.

"Saya mempunyai pengalaman 15 tahun berkhidmat dalam kerajaan. Jika saya menang, saya akan mengangkat tangan kanan saya dan bersumpah bahawa saya tidak akan rasuah.

"Saya akan menjadi teladan maka pemimpin-pemimpin lain juga akan turut mengikut.

Dengan itu, barulah rakyat nampak perubahan MCA dan dapat menarik balik keyakinan mereka terhadap MCA," kata Chua.

Chua berkata, beliau risau keyakinan rakyat terhadap MCA akan semakin berkurang jika MCA tidak melakukan sebarang perubahan.

"MCA perlu melaksanakan pembentukan semula, pembinaan semula dan mengekalkan kerelevanannya (reform, rebuild and return to relevant) untuk menarik balik keyakinan masyarakat Cina terhadap MCA," ujarnya.

Beliau juga berjanji akan membawa perubahan MCA bukan sahaja dari segi luaran tetapi akan membawa perubahan daripada parti yang lemah kepada parti yang kuat, bermaruah, berkebolehan dan bersih.

Beliau mengumumkan akan bertanding bagi jawatan tersebut pada pemilihan parti nanti.

Chua menambah, "MCA perlu membuat perubahan iaitu perubahan dari segi mental, fokus dan keberanian untuk bersuara.

"MCA perlu berani memberi kritikan di dalam Barisan Nasional (BN). Parti mempunyai hak untuk mengkritik dan membuat penilaian".

Sementara Ka Chuan pula berkata, "Selepas berbincang dengan perwakilan dan pemimpin daripada bahagian dan negeri Perak, saya mengambil keputusan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Dalam perkara yang lain, beliau berkata pembentukan kerajaan bagi Anwar adalah imaginasi sahaja.

"Tidak kira 16 September atau hari yang lain, itu cuma imaginasi sahaja. Ini merupakan permainan psikologikal yang dimainkan oleh Anwar terhadap BN," ulas Ka Chuan lagi.

Tiada ulasan: