HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 September 2008

Veteran Umno cadang parti pecat anggota terlibat rasuah politik

BERNAMA


ALOR STAR: Seorang veteran Umno mencadangkan agar parti itu memecat mana-mana anggotanya yang terlibat dalam rasuah politik tanpa mengira kedudukan mereka.

"Kalau orang sudah dapat penyakit barah, bahagian yang dijangkiti perlu dibuang terus, tidak boleh simpan lagi.

"Kalau dalam Umno, ahli yang terlibat dengan politik wang perlu dipecat, tidak kira apa pangkat mereka," kata Tan Sri Khalid Abdullah.

Katanya jika Umno takut mengambil tindakan menyingkir anggota-anggota sedemikian, gejala itu akan terus berleluasa dan ini akan menghancurkan parti sekaligus memberi kesan negatif kepada bangsa dan negara.

Khalid, 86, yang juga bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno, diminta mengulas kegusaran pelbagai pihak mengenai amalan politik wang dalam Umno khususnya setiap kali menjelang pemilihan parti itu.

Beliau mengakui bukan mudah untuk Umno menghapuskan amalan rasuah politik kerana tidak ramai individu berani tampil untuk melaporkan perkara itu.

Sebab itu, katanya, selain anggota parti sendiri, orang luar juga boleh tampil dan melaporkannya.

"Cara lain ialah pengundi dan calon itu sendiri perlu membetulkan niat iaitu bekerja bukan untuk wang dan pangkat semata-mata.

"Kalau niat tak betul, buat apa pun tak betul," kata Khalid.

Tiada ulasan: