HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 September 2008

Kementerian Pengangkutan kaji kedudukan laluan kapal

BERNAMA


PELABUHAN KLANG: Kementerian Pengangkutan akan mengkaji kedudukan laluan kapal berhubung kejadian rampasan dua kapal milik Malaysia di perairan Somalia pada 19 Ogos dan Sabtu lepas, kata menterinya Datuk Ong Tee Keat.

Beliau berkata, kajian yang bermula esok itu akan meneliti sejauh mana kejadian rampasan kapal milik MISC Bhd (MISC) memberikan kesan terhadap industri perkapalan negara.

"Kajian terperinci akan dilakukan dalam usaha meneliti impak terhadap perkapalan negara sebelum sebarang keputusan boleh dilakukan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Westport Malaysia di Pelabuhan Barat di sini, Isnin.

Ong berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menasihatkan MISC menukar laluan berlainan yang digunakan kapal milik syarikat berkenaan bagi memastikan keselamatan lebih terjamin.

Pada kejadian rampasan berasingan pada 19 dan 30 Ogos lepas, 65 orang anak kapal rakyat Malaysia dan 15 warga Filipina menjadi tebusan kepada kumpulan lanun yang merampas dua kapal tangki MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 milik MISC di Perairan Somalia.

Kumpulan lanun itu juga dipercayai menuntut wang tebusan sejumlah RM10 juta.

Mengenai kejadian itu, Ong berkata kejadian rampasan kapal terbabit bukan sahaja menjejaskan keselamatan kapal dari negara ini tetapi juga membabitkan semua kapal dari seluruh dunia yang melalui laluan sama.

"Perkara ini pernah saya bangkitkan pada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang beribu pejabat di London dan baru-baru ini pada bulan Julai lepas, saya telah buat lawatan kunjung hormat pada setiausaha agung IMO dan inilah satu-satunya perkara berbangkit iaitu keselamatan," katanya.

Beliau berkata keselamatan merangkumi semua aspek termasuk keselamatan di pelabuhan, piawaian serta pengawasan terhadap aktiviti lanun di perairan yang dilalui.

Katanya, bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu permuafakatan antarabangsa diperlukan yang bukan hanya terhad kepada Malaysia sahaja.

Tiada ulasan: