HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 September 2008

Separuh nelayan Kuala Terengganu tak berpeluang nikmati insentif

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Tidak sampai separuh daripada 1,100 ahli Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan (PNKTs) berpeluang untuk menikmati insentif RM200 sebulan menerusi skim sara hidup nelayan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Bajet 2009 Jumaat lepas.

Pengerusinya Hasan Ismail berkata ini kerana mereka ini tidak mempunyai kad nelayan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan walaupun mereka telah memohon untuk mendapatkannya.

"Kita harap pihak berkuasa atau Jabatan Perikanan akan kaji perkara ini kerana mereka memohon kad nelayan telah lama tetapi tidak diberikan perhatian," katanya di sini hari ini.

Hasan berkata bahawa skim itu begitu amat bermakna kepada nelayan kerana pendapatan mereka sekarang semakin berkurangan.

"Kita mahu persatuan nelayan dilibatkan sama dalam soal pemberian insentif ini memandangkan persatuan lebih arif tentang nelayan yang benarbenar ke laut dan tidak," katanya.

Tiada ulasan: