HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 September 2008

Letak jawatan Senator sekali

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA dan SUWARNI MOKHTAR


KUALA LUMPUR - Datuk Zaid Ibrahim yang tetap dengan keputusannya meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini, juga wajar meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Negara atau Senator.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh melantik sesiapa sahaja bagi menggantikan Zaid untuk memegang jawatan tersebut.

"Lebih baik dia lepaskan jawatan Senator itu sekali," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Zaid yang tetap dengan keputusan untuk meletak jawatan sebagai menteri walaupun telah dinasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memikirkan semula tindakannya itu.

Syed Ali berkata, perletakan jawatan Zaid sebagai menteri Kabinet itu juga dilihat akan melicinkan lagi jentera pentadbiran kerajaan kerana sudah tiada lagi menteri yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan.

Katanya, kenyataan terbaru beliau yang mempersoalkan tindakan polis serta Kementerian Dalam Negeri dalam menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga boleh disifatkan sebagai satu tindakan membelakangkan keputusan kerajaan.

"Ini masalah dia, dalam masa sama beliau tidak tahu tanggungjawab terhadap kementeriannya, dia campur tangan pula keputusan kementerian orang lain," katanya.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Zaid sepatutnya sudah lama meletakkan jawatannya sebagai menteri dan Ahli Dewan Negara, memandangkan beliau sering membangkitkan perkara yang menampakkan kerajaan tidak ada kredibiliti.

Katanya, Zaid nampaknya tidak memahami tanggungjawab bersama yang perlu dipikul dalam Kabinet serta tujuan sebenar ISA diwujudkan dan mencampuri urusan kementerian lain sehingga mengelirukan banyak pihak.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, ketiadaan Zaid sebagai menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang, bukan satu kerugian kepada negara.

"Selama ini pun beliau dilihat sebagai satu liabiliti kepada kerajaan kerana banyak sangat kontroversi yang timbul," katanya.

Katanya, Zaid mungkin tidak dapat menyesuaikan dirinya dalam kerajaan dan menyedari bahawa beliau tidak perlu berada dalam Kabinet lagi kerana tidak dapat bekerja sebagai satu pasukan.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dalam satu kenyataan berkata, tindakan Zaid itu adalah sesuatu yang wajar dilakukan berdasarkan prinsip yang dipegangnya.

"Adalah lebih baik juga Zaid tidak lagi menyentuh mengenai ISA. Ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan. Ia adalah contoh seorang ahli politik yang bertanggungjawab perlu lakukan demi kepentingan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: