BERNAMA
KUALA LUMPUR - MCA hari ini menggesa kerajaan mengkaji semula secara menyeluruh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mewujudkan satu mekanisme untuk semak dan mengimbangkan penggunaannya.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, ini bagi mengelakkan ISA, yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan, daripada disalahgunakan pada masa depan.
"Agar ISA digunakan khusus untuk kes-kes berkaitan keganasan dan anasir sabersif," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu selama enam jam di Wisma MCA di sini.
Beliau berkata, jawatankuasa itu juga mahukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membebaskan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang masih ditahan di bawah ISA.
Ka Ting berkata, kedua-dua tahanan tersebut, yang dikatakan mencetuskan kemarahan kaum dan agama, sepatutnya disiasat di bawah undang-undang lain dan didakwa di mahkamah jika terdapat bukti yang mewajarkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan