HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 September 2008

Mesyuarat Umno Cawangan di Perlis diadakan tanpa pengetahuan ketua

BERNAMA


KANGAR: Ketua Umno Cawangan Taman Gasing, Che Rus Saad mendakwa mesyuarat parti cawangan itu di sini diadakan tanpa mengikut peraturan parti.

Beliau mendakwa mesyuarat cawangan yang terletak dalam Umno Bahagian Kangar, diadakan atas arahan bekas setiausaha cawangan itu di dewan orang ramai taman berkenaan pada Ahad lepas, tanpa pengetahuannya.

"Saya bukan hendak jawatan itu tetapi saya mahu peraturan parti dipatuhi. Saya memang berhasrat nak lepaskan jawatan tetapi bukan dengan cara ini," kata Che Rus, 56, kepada pemberita di sini hari ini.

Pada mesyuarat itu, seorang pemimpin tempatan dan bekas pengerusi tetap Umno cawangan itu, Wan Din Mat dipilih sebagai ketua cawangan.

"Saya setuju Wan Din sebagai ketua cawangan kerana beliau adalah tokoh berwibawa tetapi yang dipertikaikan ialah mesyuarat berlangsung tidak ikut peraturan. Saya nampak barisan yang dipilih adalah orang yang memang berwibawa dan saya tidak pertikai mereka," katanya.

Che Rus berkata semasa mesyuarat berlangsung beliau berada di Perlis dan sedang memikirkan tarikh sesuai untuk cawangan itu mengadakan mesyuarat agung, selepas ia ditangguhkan bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Mesyuarat cawangan Umno seharusnya diadakan mulai 17 Julai hingga 24 Ogos manakala persidangan peringkat bahagian mulai 9 Okt hingga 9 Nov dan perhimpunan agung Umno diadakan pada 16 hingga 20 Dis.

Che Rus berkata beliau bimbang berlaku penyelewengan dalam parti itu telah membuat laporan kepada Ketua Umno bahagian Kangar, Ahmad Bakri Ali dan juga kepada Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sena, Abdul Jamil Saad.

"Laporan bukan bertujuan untuk kepentingan saya kerana saya dah bertekad untuk melepaskan jawatan sejak pulang dari menunaikan Haji musim lalu. Saya sayangkan parti dan saya terpaksa mendedahkan perkara ini," katanya.

Tiada ulasan: