HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 September 2008

Umno Kelantan mahu Gerakan henti desak ambil tindakan terhadap pemimpin Umno Pulau Pinang

BERNAMA


KOTA BAHARU: Umno Kelantan hari ini meminta Gerakan berhenti mendesak supaya tindakan diambil terhadap Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera di Pulau Pinang Datuk Ahmad Ismail berhubung satu kenyataan yang didakwa bersifat hasutan terhadap masyarakat Cina.

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata kenyataan Ahmad itu pada satu ceramah di Permatang Pauh pada 25 Ogos lepas bersifat peribadi seperti juga kenyataan beberapa pemimpin Gerakan yang mengugut untuk keluar BN sebelum ini.

"Gerakan mutakhir ini semakin jelas mengeluarkan kenyataan yang terus menggugat keharmonian BN tetapi pemimpin Umno yang lain tetap bersabar.

"Namun jangan kesederhanaan pimpinan Umno terutama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini cuba diambil kesempatan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam Setiausaha Agung Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye meminta Umno supaya mengambil tindakan terhadap Ahmad kerana menimbulkan provokasi perkauman.

Annuar berkata kini bukan masa yang sesuai bagi mana-mana pihak dalam Barisan Nasional membuat tuntutan sedemikian kerana ia boleh mengeruhkan lagi keadaan.

"Lebih baik pemimpin parti komponen bersama muhasabah dan perbaiki diri masing-masing," katanya.

Tiada ulasan: