UTUSAN ONLINE
KANGAR – Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin akan bertemu dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi membincangkan kontraknya yang akan tamat bulan ini.
Kata Mohd. Asri, beliau telah menghantar surat permohonan berkhidmat semula dengan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini sebelum menguruskan pemergian untuk membuat kajian di luar negara.
‘‘Saya telah maklumkan kepada USM untuk kembali berkhidmat dengan universiti itu dan akan berjumpa dengan Tuanku Raja Perlis dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai perkara ini. Surat kepada kerajaan negeri saya akan hantar kemudian.
‘‘Sepatutnya kontrak saya tamat pada 2009 tetapi disebabkan masalah tertentu membabitkan pengurusan, saya bercadang mengambil keputusan ini dan mungkin kontrak saya akan tamat dalam bulan ini (Oktober),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan khidmatnya sebagai Mufti Perlis akan ditamatkan.
Mohd. Asri dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 menggantikan Datuk Alim Panglima Mat Jahaya Hussin yang bersara wajib.
Mohd. Asri yang berkelulusan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Pengajian Hadis dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) merupakan antara mufti termuda di negara ini.
Beliau yang dilahirkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pernah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1427 peringkat negeri Perlis sewaktu berkhidmat sebagai pensyarah Pengajian Islam di USM.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mengulas penamatan kontrak Mufti Perlis itu berkata, tindakan tersebut tidak menghormati keputusan kerajaan negeri terdahulu yang menyambung perkhidmatan Mohd. Asri sehingga tahun depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan