HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 Oktober 2008

Utamakan keperluan sebenar ekonomi - Pakar

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mengutamakan kepada keperluan ekonomi sebenar negara sebelum mengambil langkah menangani krisis kewangan sejagat, kata para pakar ekonomi.

Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, pengurusan ke atas ekonomi sebenar yang melibatkan tekanan inflasi dan pengangguran patut diberikan keutamaan.

"Ini kerana, ia (ekonomi sebenar) membabitkan soal kepentingan rakyat, oleh itu, kalau peminjaman diperlukan bagi mengharungi krisis ekonomi, kita seharusnya berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ramon berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bahawa kerajaan akan menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi tahun depan kepada paras lebih rendah berbanding unjuran 5.4 peratus, berikutan krisis kewangan yang semakin gawat.

Najib juga berkata, kerajaan akan menyediakan dana tambahan RM5 bilion bagi menggandakan saiz Valuecap Sdn. Bhd. kepada RM10.3 bilion untuk melabur dalam saham-saham di bawah nilai serta melindungi pelaburan dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan mengutamakan projek-projeknya yang mempunyai kesan penggandaan tinggi dan menunda projek yang mempunyai kesan penggandaan rendah.

Menurut Ramon, kerajaan perlu mewujudkan pembaharuan membanteras rasuah supaya pakej rangsangan ekonomi yang lebih berkesan dan mudah pulih dan ia tidak boleh ditangguhkan kerana krisis yang berlaku.

Beliau berkata, dana tambahan yang disediakan sememangnya membantu GLC tetapi pada masa menunjukkan GLC tidak kompetitif berbanding negara lain.

Katanya, kerajaan juga perlu membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan bukan hanya fokus terhadap GLC.

"Jika tumpuan hanya diberikan kepada GLC maka ketidakseimbangan akan berlaku. Janganlah kami mencontohi dasar-dasar Amerika Syarikat (AS) yang hanya membantu syarikat-syarikat besar apabila berdepan dengan krisis kewangan," katanya.

Tambahnya, peruntukan yang diberikan untuk membantu GLC sepatutnya diperuntukkan untuk membiayai projek-projek kerajaan yang lebih memanfaatkan rakyat.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi, RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng berkata, langkah kerajaan tersebut dianggap sesuatu yang positif pada keadaan ekonomi semasa.

"Langkah itu dilihat dapat meringankan beban rakyat tetapi kerajaan perlu memantau semasa ke semasa dan menyesuaikan bila perlu.

"Yang penting, kita perlu memulihkan kembali keyakinan pelabur asing bahawa negara kita mempelbagaikan berkaitan secukupnya.

Bagaimanapun beliau berkata, dana bernilai RM5 bilion mungkin tidak mencukupi dan langkah tambahan perlu dilaksanakan.

''Dalam pada itu, institusi-institusi kewangan perlu mengguna pakai strategi proaktif kerana aset masih di bawah nilai asas," jelasnya.

Beliau berkata, semakan semula Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2009 adalah realistik kerana harga komoditi seperti minyak mentah sedang mengalami penyusutan.

Tiada ulasan: