BERNAMA
KUALA LUMPUR - Jualan kenderaan di Malaysia lebih tinggi pada September tahun ini, naik 7.4 peratus kepada 50,729 buah berbanding pada Ogos tahun ini.
Kenaikan itu didorong oleh jualan yang baik terutamanya oleh Perodua dan Proton, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam kenyataannya di sini.
Jualan itu juga disumbangkan oleh musim sambutan hari raya, yang menyaksikan kenaikan 12.8 peratus atau 5,745 buah lebih tinggi berbanding September tahun lepas, katanya.
Sepanjang tahun ini sehingga sekarang, jualan bertambah kepada 429,913 buah daripada 358,234 buah dalam tempoh yang sama sebelumnya.
MAA menyatakan industri automotif akan terus menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan pada bulan ini, disokong catatan jualan dua syarikat pembuat kereta nasional itu.
Dalam September tahun ini, pengeluaran industri keseluruhan bertambah kepada 42,638 buah berbanding 40,660 buah dalam bulan yang sama tahun lepas.
Daripada jumlah itu, kereta penumpang adalah 39,037 buah manakala 3,601 buah lagi merupakan kenderaan komersial.
Jumlah pengeluaran dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini meningkat kepada 403,707 buah berbanding dengan 327,340 buah tahun lalu.
Daripada jumlah itu, kereta penumpang mewakili 366,594 buah dan bakinya, 35,113 buah lagi kenderaan komersial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan