HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Februari 2009

Realiti politik masa kini dan kejutan politik Najib di Perak

Ahmad Lutfi Othman


Secara peribadi, lazimnya saya sukar untuk menerima dengan mudah dakwaan bahawa Umno-BN sudah hilang pengaruh dan bersiap sedia bagi dikuburkan hanya kerana sesuatu peristiwa, misalnya kalah dalam pilihan raya kecil. Saya lebih suka meramalkan kedudukan terburuk yang bakal dihadapi pembangkang supaya dapat diikhtiarkan jalan keluar sebelum terlambat. Lagi pun, kejutan selepas menang lebih indah dan nikmat berbanding terkejut kerana kalah!

Semasa pilihan raya umum 1999, ketika tuntutan reformasi hebat dilaungkan, ramai kawan-kawan menjangkakan BN akan gulung tikar. Saya sekadar menyimpan impian untuk melihat kerajaan Barisan Alternatif ditubuhkan sambil berasa resah dan bimbang takut-takut BA, seperti parti pembangkang sebelum itu, kalah dengan teruk. Meskipun akhirnya PAS dapat menguasai Terengganu, dan mengekalkan Kelantan, selain menambah kerusi 20 kerusi Parlimen menjadi 27, pengundi bukan Melayu telah menjadi penyelamat kepada BN.

Umno disifatkan bagai lembu nazak disembelih. Saya cuma mengingatkan, lembu ketika disembelih, jika tidak diikat baik-baik, akan menerajang sekuat hati dan boleh terlepas. Itulah yang berlaku sepanjang 1999-2004. Sementara pembangkang dibelasah habis-habisan, senarai daftar pengundi dimanipulasi, persempadanan semula ala gerrymandering dilaksanakan dan kepimpinan tertinggi Umno juga bertukar tangan. Dan keputusan pilihan raya 2004 cukup mengejutkan. Lebih 90 peratus kerusi Parlimen dirangkul BN. PAS hampir terlepas Kelantan, cuma menang dengan majoriti satu kerusi, dengan kelebihan dua undi!

Iklim sejuk politik

Sebenarnya saya sejak awal, dengan mengambil kira suhu politik yang suam-suam kuku, kalaupun tidak sejuk, walaupun selepas Parlimen dibubarkan, dan ini menandakan pembangkang akan menghadapi pukulan teruk. Ramai juga kawan-kawan yang tidak bersetuju dengan telahan saya itu, yang ada disiarkan dalam Harakah, malah mereka menjangkakan momentum 1999 masih bertenaga sehingga 2004.

Seorang sarjana sains politik, kalau tidak silap, lima hari sebelum pilihan raya, mahu saya memaklumkan kepada pimpinan PAS Terengganu bahawa negeri itu dalam bahaya. "PAS masih memerintah, gunakanlah apa yang mampu untuk pertahankan kerajaan negeri," katanya. Apabila saya bertanya, apa ramalannya terhadap keputusan pilihan raya nanti. Pantas beliau menjawab, sama sahaja dengan keputusan 1999, tetapi cuma terbalik, iaitu kalau dulu BN dapat 4 kerusi Dun dan hilang semua kerusi Parlimen, kali ini PAS pula akan mengalami nasib sama. Menakjubkan sekali kerana ia begitu tepat.

Sebelum itu, pengalaman pedih menyaksikan PAS hanya mampu menang satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 1986 membuatkan saya terlalu berhati-hati untuk memberi harapan besar kepada pembangkang. Itulah pengalaman pertama PAS di bawah kepimpinan ulama menyertai pilihan raya. Percubaan untuk merampas kembali Kelantan, yang terlepas sejak 1978, juga gagal. Serangan media perdana terhadap PAS yang membina persefahaman dengan beberapa parti kecil dan CCC cukup dahsyat, sehingga ia mencetuskan idea bagi PAS menerbitkan akhbarnya sendiri.

Gelombang kemarahan ahli-ahli Umno sendiri kepada Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan parti itu pada 24 April 1987, yang mencetuskan pembentukan Team A dan Team B, seterusnya melahirkan Parti Semangat 46 juga tidak mampu menobatkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri dalam pilihan raya 1990. Peristiwa sigah Kadazan yang ditohmah berlambangkan salib, yang dipakai Ku Li ketika berkempen di Kota Kinabalu, mengubah senario yang pada awalnya menyebelahi Angkatan Perpaduan Ummah. Di luar Kelantan, Angkatan kalah teruk, malah prestasinya di Kedah lebih rendah berbanding kedudukan dalam pilihan raya sebelumnya, pada 1990.

Kebimbangan bertukar

Bagaimanapun, realiti Mac 2008, iaitu pilihan raya umum ke-12, dan diikuti dua pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu mengubah kebimbangan saya selama ini. Malaysia memang betul-betul berada di ambang babak perubahan yang besar. Era lama yang dibentuk lebih 50 tahun selepas merdeka bakal berakhir. Rakyat Malaysia, dari pelbagai kaum dan lapisan umur, cukup dahagakan pembaharuan. Umno bagaikan dimamah sejarah.

Kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail agar Umno menyusun semula struktur organisasinya dengan memansuhkan sayap-sayap parti, iaitu Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri, jika ia benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang, bukan sesuatu yang mengejutkan. Ia selari dengan persepsi umum bahawa zaman Umno sebagai pemerintah hampir tamat. Ahli-ahli parti itu harus bersedia untuk menjadi pembangkang.

Tengku Ahmad Rithauddeen tentu mempunyai banyak maklumat ekoran aduan politik wang yang dikumpulnya. Beliau mengakui sudah berfikir panjang sebelum membuat cadangan agar sayap-sayap Umno itu dibubarkan. Pada 6 November 2008, dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, beliau "meminta pucuk pimpinan Umno segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan diterima setakat ini". Tambahnya, "masalah utama dalam membanteras politik wang dalam Umno ialah gejala buruk tersebut diterima sebahagian besar ahli parti itu dan sudah menjadi satu bentuk budaya".

Beliau juga pasti mempunyai bukti yang cukup apabila menegaskan: "Saya dok fikir perlukah ada Puteri dan Putera kerana lagi ada Puteri dan Putera banyak lagi duit dok main." Ahli-ahli Umno pada usia muda sudah dilazimkan dengan amalan rasuah membeli undi dan ini sudah cukup untuk menggambarkan masa depan parti itu yang gelap-gelita. Mereka sudah pandai menagih upah sebelum melakukan kerja-kerja parti. Masakan tidak, anak-anak muda ini melihat sendiri "abang-abang, kakak-kakak, ibu-ibu dan bapa-bapa" mereka mudah mengumpulkan dana melalui kedudukan strategik dalam Umno dan hubungan intim dengan pimpinan atasan.

PAS, bersedialah untuk memerintah


Dalam pada itu, seorang profesor yang melakukan kajian dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu memberitahu saya: "Lutfi, tolong beritahu pimpinan PAS, bersedialah untuk menjadi parti pemerintah bersama Pakatan Rakyat, carilah pasukan terbaik PAS untuk ditawarkan kepada rakyat dalam pilihan raya akan datang."

Saya turut tertarik dengan analisis sekumpulan pengkaji dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, yang turut dianggotai Prof Dr Mohd Redzuan Othman, tentang pilihan raya kecil Permatang Pauh. Dalam buku setebal 155 muka, mereka merumuskan jika kecenderungan pengundian di Permatang Pauh berterusan, tidak mustahil dalam pilihan raya umum ke-13, kawasan pilihan raya yang dimenangi oleh BN dengan majoriti kecil (1,000 - 3,000 undi) akan jatuh kepada tangan pembangkang.

Jika PAS, KeADILan dan DAP mula bertindak sebagai "kerajaan menanti" dan bersedia dari segenap aspek untuk menjadi alternatif terbaik, seterusnya bijaksana menghadapi cabaran baru dalam gabungan lebih mantap, maka kebimbangan lama saya juga mudah terhakis.

Bagaimanapun, kerisauan saya timbul kembali apabila membaca kenyataan Pengerusi Perhubungan KeADILan Negeri Perak, Osman Abdul Rahman pada 31 Januari bahawa dua Adun KeADILan yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Perak hilang dan tidak dapat dikesan sejak empat hari lalu.

Kejutan politik di Perak

Malaysiakini juga melaporkan, desas-desus mula bertiup kencang bahawa kedua-dua Exco berkenaan, Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu berada di Pekan, Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Razak di kediamannya. KeADILan Perak juga mendakwa Najib sedang berunding dengan mereka agar menyertai BN, termasuk untuk menggugurkan kes rasuah terhadap mereka yang ditahan Ogos tahun lalu.

Saya cuba mengambil sikap tunggu dan lihat. Tidak semudah itu suasana politik bertukar. Dan tidak semudah itu juga kerajaan Perak bertukar tangan memandangkan mood rakyat untuk melihat perubahan dilaksanakan cukup kuat. Apa pun dalam politik segalanya serba mungkin.

Sepantas kilat teringat saya usikan seorang kawan lima bulan lalu ketika semua sibuk berbicara soal ura-ura peralihan kuasa 16 September. Katanya, "Anwar kena cepat usahakan agar ahli-ahli Parlimen BN menyeberang ke Pakatan Rakyat untuk tubuh kerajaan baru. Nanti, bila Najib jadi PM, dia akan bertindak agresif berusaha membeli wakil-wakil rakyat Pakatan pula."

Sememangnya Najib dalam keadaan tertekan sekarang, khususnya selepas BN yang diketuainya kalah berganda di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Beban sejarah politiknya juga cukup berat untuk diseret ke Seri Perdana. Isterinya juga mempunyai beban tersendiri. Najib perlukan suatu keajaiban agar peralihan kuasa daripada Abdullah Ahmad Badawi kepadanya dua bulan lagi nampak betul-betul berseri dan dapat memikat imiginasi dan keyakinan rakyat.

Usah remehkan keupayaan Najib dalam mencaturkan politik. Bukankah mentornya, Dr Mahathir Mohamad, yang mengkagumi Niccolo Machiavelli, terkenal dengan kelicikan berdepan situasi sulit, dengan menggunakan apa juga kaedah yang membelakangi etika dan moral?_

Tiada ulasan: