HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Januari 2009

"Saya cukup berani keluar Umno" - Nasarudin

MSTAR ONLINE


IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim sambil menegaskan beliau "cukup berani" untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau keluar Umno bukan kerana tidak berpeluang bertanding dalam pemilihan parti di Bahagian Parit tahun lalu.

"Ia tiada kaitan dengan itu dan perkara itu tidak timbul sama sekali," kata beliau yang keluar Umno Ahad lalu.

Malah kata Nasarudin, jika beliau lemah sudah pasti tidak berani untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

"Masih ada semangat untuk berjuang dalam diri saya," kata beliau selepas menemui pengundi-pengundinya malam tadi.

Beliau berucap dalam sesi Ceramah Khas Mesra Rakyat di Stadium Bakri Rais, Bota Kanan dekat sini.

Ia antara lain bagi menjelaskan kepada rakyat di kawasannya mengenai pendirian beliau keluar Umno dan menyerta PKR.

Ia dianjurkan oleh PKR.

Turut hadir ialah Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ceramah itu, Nasarudin turut meminta ADUN Umno yang lain di Perak supaya menyertai PKR.

"Saya fikir mereka cukup matang untuk berfikir bagi diri masing-masing," katanya.

Sambil menyifatkan kehadiran yang ramai dalam ceramah itu, Nasarudin menjelaskan, beliau tidak pernah menyaksikan jumlah itu termasuk ketika kempen pilihan raya umum yang lalu.

"Justeru, ia adalah jelas bahawa orang ramai menyokong saya dan mereka gembira," katanya.

Beliau juga berkata, PKR tidak menawarkan apa-apa kepadanya untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Anwar pula berkata, beberapa ADUN Barisan Nasional juga ada menghubunginya untuk menyertai PKR.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut perkara tersebut.

Tiada ulasan: