myMetro
SEREMBAN: Tidak hanya di sektor perkilangan dan perkhidmatan, wanita warga asing dikesan turut memonopoli pekerjaan di beberapa rumah urut tradisional di negeri ini.
Kepakaran dan upah yang murah dipercayai penyebab utama khidmat mereka lebih banyak digunakan berbanding pekerja warga tempatan.
Tinjauan Metro Ahad di beberapa rumah urut mendapati khidmat itu dimonopoli oleh wanita warga China dan Thailand.
Biasanya, bayaran bagi satu sesi urutan adalah sekitar RM40 sehingga RM60 bergantung kepada kadar yang ditetapkan pengusaha rumah urut berkenaan.
Sumber Harian Metro yang berkunjung ke beberapa premis urut berkata, kebanyakan pekerja rumah urut terbabit adalah dari negara luar seperti Thailand dan China.
“Ada di kalangan mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris dan hanya menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan pelanggan.
“Saya percaya mungkin gaji yang dibayar kepada mereka (pekerja urut) lebih rendah berbanding tenaga kerja tempatan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia turut tidak menafikan segelintir pekerja rumah urut turut menyediakan khidmat urutan batin kepada pelanggan.
Katanya, tidak semua gadis urut sanggup berbuat demikian dan mereka dipercayai melakukannya tanpa pengetahuan majikan untuk mendapatkan duit lebih.
“Mereka mungkin akan dikenakan tindakan oleh majikan sekiranya didapati melakukan perkara yang tidak dibenarkan ketika mengurut pelanggan.
“Namun disebabkan ingin mendapat wang lebih, mereka sanggup melakukannya dan mengambil risiko dibuang kerja sekiranya tertangkap,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan