Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
SABAK BERNAM: Tiga tahun lamanya empat sekeluarga menempuhi pengalaman pelik dan menakutkan apabila rumah mereka di Taman Pertama di sini, ‘dihujani’ pelbagai jenis jarum hampir setiap hari.
Ada ketikanya, jarum yang tidak diketahui dari mana datangnya itu turut diiringi objek lain seperti batu, daun dan serpihan kayu.
Rosekan Ismail, 41, berkata barangan itu muncul secara tiba-tiba menyebabkan dia, isteri dan tiga anaknya bingung memikirkannya dan sentiasa hidup dalam ketakutan.
“Jarum itu yang jumlahnya antara 20 hingga 30 batang bersepah di atas lantai dan kadangkala tercucuk di bantal dan selimut. Barangan selain jarum seperti pisau diikat jarum, batu diikat jarum, daun dicucuk jarum dan serpihan kayu turut bersepah di atas lantai.
“Tiada kesan tingkap atau cermin pecah menyebabkan saya bertambah bingung bagaimana barangan berkenaan boleh muncul. Lebih menakutkan, kerap juga jarum berkenaan tercucuk di tangan dan kaki saya,” katanya.
Rosekan berkata dalam usaha mengatasi masalah aneh itu, dia sudah bertemu 30 pengamal perubatan, termasuk bomoh dan ustaz, tetapi keadaan masih tidak berubah.
“Saya sudah membelanjakan kira-kira RM15,000, sedangkan wang itu saya simpan untuk tujuan membeli rumah. Saya juga sudah disuruh melakukan macam-macam amalan termasuk mandi limau, mandi bunga, kenduri doa selamat dan pelbagai lagi.
“Di mana saya dengar ada pengamal perubatan, saya pergi. Sejak tiga tahun lalu, saya sudah ke Kuala Lumpur dan Perak untuk berubat, tetapi tiada perubahan.” katanya yang sampai satu tahap meminta bantuan polis, tetapi polis tidak dapat berbuat apa-apa.
Rosekan berkata, pengamal perubatan yang ditemui berbeza pendapat mengenai masalah yang dihadapinya.
“Ada yang kata rumah yang saya huni ada penunggu dan ada yang kata saya terkena buatan orang,” katanya.
Menurut Rosekan, dia menetap di rumah berkenaan sejak 2002 dan peristiwa aneh itu berlaku sejak April 2006.
Katanya kebiasaannya barangan berkenaan muncul selepas jam 10 malam, tetapi kadangkala muncul tidak tentu masa, termasuk siang hari.
“Kadangkala ketika saya duduk berehat, tiba-tiba muncul jarum bersepah di atas lantai dengan bunyi yang kuat. Ketika tidur, kemunculan jarum berkenaan diiringi dengan bunyi seperti hembusan nafas.
“Lebih membuatkan saya hairan, ada jarum yang panas sehingga melukakan jari jika disentuh. Kesudahannya saya menggunakan besi berani untuk mengutip jarum yang bersepah itu,” katanya.
Rosekan berkata, selain bingung, tertekan dan ketakutan, sepanjang tiga tahun lalu pernah sekali kemunculan jarum berkenaan menyebabkan dia dan dua anaknya, Asarudin, 13 serta Zainudin, 11, sesak nafas dan tidak boleh berjalan secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, katanya dia dan anaknya kembali pulih selepas mendapatkan rawatan daripada seorang bomoh.
Kata Rosekan, isterinya, Julia Abdullah, 29, dan anak bongsu, Daiebah, 8, juga pernah berdepan pengalaman mencemaskan apabila beberapa kali jarum berkenaan terselit di rambut mereka secara tiba-tiba.
“Mujur ia tidak mencucuk kulit kepala. Kemunculan jarum itu turut menimbulkan satu lagi tanda tanya kerana setiap kali jarum berkenaan jatuh di dalam akuarium, beberapa ekor ikan puyu yang saya bela mati,” katanya.
Rosekan berkata, pernah beberapa kali dia cuba mengesan kemungkinan dia disabotaj, tetapi apabila diintip dari luar rumah dari tengah malam sehingga awal pagi, tiada pula dikesan individu atau kumpulan tertentu berlegar di depan rumahnya.
“Apabila saya masuk ke dalam rumah, benda itu (jarum) bersepah di atas lantai. Saya menjadi tertekan dengan keadaan itu. Sejak tiga tahun lalu, saya hanya dapat melelapkan mata sekitar jam 3 hingga 4 pagi bagi menenangkan anak dan isteri yang ketakutan.
“Kadangkala apabila sudah tidak tahan, kami tidur di rumah kakak. Pekerjaan saya dan pelajaran anak saya terganggu gara-gara peristiwa pelik itu,” katanya.'
Jirannya, Azhar Yaacob, 36 mengakui kebenaran dakwaan Rosekan itu kerana pernah melihat sendiri jarum yang muncul secara tiba-tiba di rumah Rosekan.
Azhar berkata dia juga pernah bersama Rosekan bersembunyi dan mengintip untuk mengesan sama ada individu atau kumpulan tertentu mensabotaj rumah Rosekan tetapi tidak berjaya.
“Rumah kosong, tetapi apabila kami masuk, ada jarum dan beberapa barangan lain bersepah di atas lantai,” katanya yang simpati dengan nasib Rosekan.
Rosekan berkata, dia pernah terfikir untuk berpindah, tetapi memandangkan sukar untuk menyewa rumah lain dan selesa dengan persekitaran rumah disewa ketika ini, dia tidak berbuat demikian.
“Saya bukan tidak mahu berpindah, tetapi saya sekeluarga sudah selesa di sini. Persekitarannya tenang dan dekat dengan pelbagai kemudahan.
“Saya amat berharap ada pihak yang sudi membantu menyelesaikan masalah saya. Saya hanya mahu peristiwa aneh yang berlaku itu dapat diatasi,” katanya yang boleh dihubungi melalui talian 013-3837721.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan