HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Mac 2009

Gengsterisme belia India serius

BERNAMA


KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah akan mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India dalam masa terdekat bagi membincang serta mengambil langkah menangani masalah gengsterisme di kalangan belia India yang semakin berleluasa.

Murugiah berkata, dianggarkan lebih kurang 100,000 orang kebanyakannya belia India, terlibat dalam pelbagai kegiatan gengsterisme dan angka itu amat membimbangkan semua pihak.

Sambil menyifatkan ia sebagai gejala sosial yang serius, menurutnya, laporan akhbar hampir saban hari menyebut pembabitan pemuda keturunan India dalam aktiviti gengsterisme dan jenayah lain.

Tegasnya, tanpa langkah berkesan, masalah ini akan bertambah lebih serius pada masa akan datang.

“Sasaran utama perbincangan itu nanti adalah untuk membebaskan pelajar sekolah menengah kaum India daripada gengsterisme kerana gejala itu sudah menular di kalangan pelajar dengan adanya kes peras ugut wang perlindungan.

“Saya minta semua NGO India tampil membantu tangani masalah ini dan turun padang ke kawasan yang ada masalah ini dan proaktif mengatasinya. Saya sanggup beri sokongan dan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Persatuan Sivik India Malaysia ke-14 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Murugiah berkata, antara punca penglibatan belia India dalam kegiatan gengsterisme adalah kerana ibu bapa kurang memberikan perhatian dan pengawasan kepada anak-anak serta apa yang mereka lakukan di luar rumah.

Dalam ucapannya, beliau meminta Persatuan Sivik India Malaysia yang ditubuhkan pada 1994 bermatlamat membanteras samsu haram di kalangan kaum India, memberikan tumpuan membantu mengatasi masalah gengsterisme.

Pada majlis itu, Murugiah dianugerah gelaran ‘Wira Perjuangan’ oleh persatuan itu atas sumbangan aktifnya menyelesaikan pelbagai masalah rakyat setiap hari.

Tiada ulasan: