Wan Kay
Kuala Terengganu - Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan mencapai ‘klimaks’nya dengan 100,000 orang rakyat dari seluruh negara berhimpun di Istana Negara pada 7 Mac 2009 ini.
Perjuangan memansuhkan PPSMI tidak mungkin berjaya tanpa sokongan semua pihak.Namun, apa perlunya semua rakyat khususnya di kalangan orang Melayu untuk turut serta dalam perhimpunan aman besar-besaran tersebut.
Soal jawab Buletinonline dengan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik merungkai persoalan diatas.
Soalan: Dato’, sejauh manakah isu PPSMI ini sekarang?
Jawapan: Isu PPSMI ini sudah sampai ke kemuncaknya untuk rakyat bertindak, isu ini sangat menyentuh hati nurani umat Islam khususnya bangsa Melayu dan rakyat Malaysia amnya. Oleh itu, diperingkat Jawatankuasa Gabungan Memansuhkan PPSMI ini akan bermesyuarat pada 3 Mac 2009 untuk memastikan orang ramai keluar berhimpun (pergi) ke Kuala Lumpur, di perkarangan Istana Negara dengan jumlah yang sedia dimaklumi iaitu 100,000 orang.
Soalan: Bagaimana peranan Lajnah Pendidikan PAS Pusat dalam isu ini?
Jawapan: Lajnah Pendidikan PAS Pusat telah mengambil perjalanan dengan berusaha bersama-sama pihak lain dalam parti bagi memastikan PAS menjadi salah sebuah badan gabungan dalam GMPPSMI berperanan dengan baik. Kita (PAS) telah sampai ke peringkat memberi penerangan dan mengerah orang ramai untuk hadir ke perhimpunan amat penting kepada rakyat, bangsa dan negara.
Soalan: Bagaimana tindakan PAS Terengganu?
Jawapan: Ya, di peringkat negeri Terengganu. Saya berunding dengan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Mustafa Ali untuk membuat kerahan angka sejumlah sebagaimana yang keluar pada Himpunan Bersih dahulu. Kita harap Terengganu boleh melepasi sasaran yang dikehendaki itu.
Ini kerana, pada 26 Februari 2009 lalu, pelancaran kempen GMPPSMI peringkat negeri Terengganu telah diadakan di Dungun. Pada hari itu juga, sebuah jawatankuasa peringkat negeri telah diperkuatkan kerana jawatankuasanya telah ada (wujud) pada waktu berlaku pilihan raya kecil di Kuala Terengganu, bulan lalu, dengan mengambil kira wakil-wakil dari kawasan-kawasan. Jadi dalam konteks ini, PAS turut sama untuk menjayakan dan saya berusaha untuk menyampaikan hajat sebagaimana yang kita nyatakan tadi iaitu berunding dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu untuk keluar seramai itu.
Soalan: Dato’ berapa sasaran PAS kali ini?
Jawapan: Kita (PAS) harap di Terengganu dapat keluar dengan jumlah angka yang sama dengan angka Himpunan Bersih tempohari. Saya harap dapat keluar angka 10,000 orang dari Terengganu untuk turut serta, InsyaAllah.
Soalan: Kelompok Mana Menjadi Sasaran utama Dato’ ?
Jawapan: Disamping orang ramai kita mengerah para pelajar dan guru-guru. Maahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT) Tok Jiring, contohnya, akan turun tiga buah bas. Seruan kita (PAS) yang utamanya kepada rakyat, ibubapa dan guru-guru kerana usaha ini harus digembelingkan. Isu ini adalah berkait rapat dengan masa depan anak-anak mereka dan bangsa (Melayu) mereka.
Kita harap persatuan guru dan kita berterima kasih di atas usaha Gerakan Memansuhkan PPSMI Terengganu yang dipimpin oleh guru-guru. Dua orang bekas pengarah menjadi penasihat kepada jawatankuasa ini yang dipengerusikan oleh Haji Yaakob dan timbalannya, Haji Sulong Abdul Rashid.
Sebenarnya, golongan belia-belia sekarang ini mesti terpanggil untuk bersama gerakan ini. Mereka (belia) ada dalam masyarakat sekarang ini dan mereka adalah golongan yang paling cepat menerima kesan yang dan parah daripada dasar PPSMI ini.
Soalan: Dato’, kenapa pemimpin Umno beria-ia benar mahukan PPSMI diteruskan?
Jawapan: Saya fikir, adalah terlalu tidak manasabah dan mustahil dengan apa yang sedang berlaku tetapi ini berlaku. Kesimpulannya, Umno sudah tidak ada kesedaran atau jati diri.
Pemimpin-pemimpin Umno sekarang ini sudah tidak yakin kepada bahasa sendiri untuk diperjuangkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa rasmi negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Jadi orang ramai kena ambil isu PPSMI sebagai penanda ‘aras bahaya’.
Sebab itu, Kita (PAS) tidak bersetuju dari awal lagi. Tetapi PAS sebagai pejuang ibarat sebuah ‘perahu’. Dia (perahu) boleh bergerak di atas air sahaja sebagaimana pepatah Arab yang bermaksud,”Perahu tidak boleh bergerak atas darat”. Jadi walau apa cara sekali pun sebagai wadah perjuangan politik PAS tidak mampu untuk memperjuangkan sesuatu isu kalau tidak disokong tetapi PAS terus menerus berjuang sehingga akhirnya, Alhamdulillah isu PPSMI ini mendapat sokongan rakyat.
Isu sekarang (perjuangan) ini adalah perjuangan yang bukan sahaja menjadi perjuangan PAS tetapi adalah perjuangan sebenar rakyat dan orang Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan