HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Mac 2009

PPSMI: Nak jumpa Agong, takkan tak boleh?

Ali Bukhari Amir


Sekitar 6:15 petang tadi (6 Mac), rakan wartawan, Irwan meminta saya menelefon ahli-ahli jawatankuasa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Saya dimaklumkan bahawa mesyuarat GMP itu baru sahaja selesai.

"Telefonlah.. mana tahu kalau-kalau ada perubahan," kata Irwan. Saya menelefon saudara Saifullah, salah seorang ahli jawatankuasa itu untuk bertanya kalau-kalau ada perkembangan terbaru atau sebarang perubahan. Akhirnya, panggilan itu diserahkan kepada saudara Suhaizan Kayat.

"Ikut pelan asal," kata Suhaizan. "Orang-ramai berkumpul di Sogo dan Central Market, kemudian perlahan-lahan bergerak ke Masjid Negara."

Kata Suhaizan lagi, di Masjid Negara itu ada sedikit 'event'. Mungkin ada beberapa pengumuman terbaru di situ.

"Kemudian, dari Masjid Negara, pergerakan itu menuju ke Istana Negara," jelas Suhaizan lagi.

Semalam, tersiar laporan berita berhubung 'perkenan' polis untuk membenarkan 'hamba rakyat' berhimpun dan menunjukkan aksi amarah mereka di jalanan dalam isu PPSMI ini.

Dengan tiba-tiba, polis bersikap sedikit lunak! Bezanya, kali ini beberapa pimpinan GMP akan diiringi polis ke Istana Negara, meninggalkan khalayak yang telah tertindas oleh PPSMI ini berselerak di Masjid Negara dan di mana-mana. Begitulah saya difahamkan. Mungkin, apa-apa yang saya tulis ini berubah esoknya. Wallhu'alam..

Kenapa polis mula 'lunak'?

Timbul pertanyaan, kenapakah dengan tiba-tiba polis bersikap lunak? Ada banyak teori dan tentunya ada banyak spekulasi. Maka, izinkan saya memetik salah satu telaah yang mungkin boleh dibantah kemudiannya. Kalau mahu ditulis semua telaah politik ini, tentulah panjang ceritanya.

Dalam telahan saya, polis hormat kepada Dato' Hassan Ahmad, tokoh-tokoh bahasa dan orang-orang kenamaan dalam Umno yang akan berhimpun esok hari.

Pada akhir Januari lalu, ketika GMP mula diisytiharkan kelahirannya di Pasaraya Sogo, saya melihat ketua polis berbangsa India yang bertanggungjawab mengawal keadaan di situ telah menghampiri dan bercakap secara baik-baik dengan Dato Hassan Ahmad.

Sikap polis yang lunak sebegini, jarang-jarang dapat kelihatan dalam mana-mana protes anjuran Pakatan Rakyat. Polis bersikap garang dan rakyat akan disembur air gatal sesuka hati.

"Polis minta Dato Hassan Ahmad beredar," kata Puan Ainon Abdullah, salah seorang aktivis GMP. "Selagi mana 'orang tua; ini tidak berganjak, orang ramai tak ada pergi dari sini dan wartawan akan menunggu untuk mendapatkan berita."

Itulah yang berlaku ketika GMP diisytiharkan kelahirannya di Sogo pada akhir Januari lalu. Polis barangkali serba-salah. Nak berkeras pun, orang kerajaan juga.

Sebenarnya, dalam gerakan PPSMI ini, gerakannya bersifat mengakar, membumi, merimbun dan akhirnya merakyat. Tiada unsur-unsur kepartian dalam gerakan ini. Kalau ada pun, ia berlaku hanya secara kebetulan sahaja.

Dalam kalangan mereka, ada yang Umno, Pas, Keadilan, Dap dan lain-lain parti. Tapi, ramai juga NGI (Non Government Individual) atau dalam tafsiaran lain, individu tanpa parti. Mereka inilah tulang belakang dan akar tunjang kepada pergerakan raksasa ini.

Debat adalah tempat, gelanggang dan medan melagakan tafsiran dan pendapat. Maka, izinkan saya memutarkan pendapat peribadi.

Jika pihak polis benar-benar mewakili raja kerana namanya terpahat sebagai Polis Diraja Malaysia (PDRM), maka hendaknya polis jangan menderhaka kepada baginda sultan.

Raja sudah perkenankan kedatangan rakyat ke Istana Negara. Saya pun tidak fikir rakyat akan masuk ke Istana Negara, cuma berada di luar sahaja. Apa hak polis untuk memberi izin atau tidak memberi izin kepada rakyat untuk bertemu sultannya, jika raja sendiri sudah pun melimpahkan perkenannya?

Dalam perarakan Bersih dahulu, apakah timbul masalah apabila rakyat berhimpun di luar pagar Istana Negara? Bukannya polis tidak tahu tentang hal itu? Apakah selepas itu wujudnya rungutan daripada Istana Negara berhubung pergerakan Bersih menuju ke Istana Negara?

Jeritan kepedihan rakyat harus hinggap ke dinding istana

Apa yang polis bimbangkan, mungkin suara, jeritan dan pekikan rakyat yang ditindas oleh PPSMI ini menerobos masuk melalui jendela istana baginda tuanku. Itu sahaja. Menurut hemat saya, pertembungan jiwa, pertalian hati antara rakyat dan tuanku inilah yang ditakuti oleh polis, pimpinan kerajaan.

Sejauh yang saya ketahui, terdapat dua laporan polis yang telah dibuat sebelum ini. Mungkin sudah ada lebih laporan polis, tetapi tidak dilaporkan.

Yang saya tahu, pihak Gapena telah membuat laporan polis di Balai Polis Brickfield pada 15 Februari lalu. Ekoran laporan polis Gapena itu, maka Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah membuat laporan polis di Balai Polis Gombak selang tidak lama selepas itu.

Kalau polis adalah sebuah badan, lembaga yang tertakluk di bawah Yang Dipertuan Agong, ertinya polis adalah sebahagian daripada jentera Istana Negara. Menghantar laporan polis bermaksud, kita telah menghantar kepada raja.

Maka, tidak sepatutnya Polis DIRAJA Malaysia menghalang lagi kemahuan dan kehendak rakyat untuk bertemu raja mereka. Dan, janganlah hendaknya polis menjadi alat jentera perkakas istana yang mengkhianati atau menderhaka kepada tuannya, iaitu pihak istana.

Janganlah polis menunjukkan sikapnya sebagai penderhaka kepada raja. Raja sudah perkenankan kehadiran rakyat. Maka, kehadiran rakyat ke Istana Negara adalah sah. Hanya ada dua sebab, kenapa polis tidak membenarkan rakyat pergi Istana Negara esok hari.

Pertama, polis takutkan bayang-bayangnya sendiri. Mungkin kerana tidak mahu pihak atasannya bikin masalah, maka mereka pun bertindak atas inisiatif sendiri.

Kedua, sebagai yang dijangka, ada pihak atasan yang mengarahkan polis melakukan pelan sedemikian, iaitu dengan menghalang rakyat menemui raja mereka.

Suara rakyat dan kuasa raja menyatu!

Ada beberapa perkara buruk yang bakal berlaku kalau suara rakyat menyatu dengan kuasa raja. Dan, hal inilah yang mungkin mengundang keresahan pada Umno. Pihak-pihak tertentu dalam Umno mungkin boleh ditumbangkan melalui kesatuan, kesepakatan antara raja-raja.

Pada Mei 2008, dalam Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan di Persada, Johor Bahru, saya sempat bertemu dengan seorang lelaki tua berkuturunan Syed. Dia seperti lelaki tua, orang lama yang bijaksana. Pada dirinya, seperti terhimpun segenggam rahsia di dadanya.

Lewat perbualannya itulah, maka saya mengetahui bahawa antara punca kejatuhan Idris Jusoh (mantan MB Terengganu) dan Shahidan Kassim (MB Perlis) berpunca oleh sebab wujudnya pertemuan demi pertemuan antara golongan elit 'Non Partisan' ini dengan raja-raja Melayu.

"Kami yang susun gerakan itu," kata tuan Syed. Mereka ini bergerak senyap-senyap bagaikan Priory of Sion, The Elders. Mei ini, kalau sesiapa yang ada kesempatan menonton Angels & Demons, tentulah memahami bagaimana kuatnya pengaruh golongan elit, hartawan, intelektual yang bergerak secara rahsia ini.

"Sekarang memang sudah ada kesepakatan antara Raja-Raja Melayu untuk menjatuhkan Umno ini," kata tuan Syed lagi. "Tetapi, awak mesti rahsiakan gerakan sulit ini."

Akhirnya, saya riwayatkan juga hal ini. Saya mungkir janji. Apabila melihat betapa gigihnya polis berusaha untuk membakar jambatan hubungan antara raja dan rakyatnya, maka perca-perca ingatan yang berselerak kini bertaut kembali.

Mungkin, pemimpin elit Umno pun tahu bahawa Raja-Raja Melayu berdendam dengan mereka ini dalam diam-diam. Sepatutnya, jika sudah sedar diri, bertaubatlah segera. Jangan lagi berusaha keras melawan arus dan melawan fitrah dan kesemulajadian.

Fitrah dan kesemulajadian telah menyatakan bahawa sesuatu ilmu itu mesti diajar dalam suatu bahasa yang rakyat sendiri memahaminya!

Bilakah pihak polis mahu belajar memahami hakikat ini?!

Tiada ulasan: