Oleh: Meor Isfandy Meor Azizan
Isu lambakan pekerja asing dalam negara mungkin tidak akan timbul sekiranya krisis kewangan global tidak memberikan kesan kepada negara kita akhir-akhir ini. Sekurang-kurangnya dua buah kementerian yang terlibat dalam isu perkhidmatan pekerja asing.
Pertama, Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja yang mengurus dan memantau pekerja asing di dalam pasaran guna tenaga samada isu penggajian, isu kebajikan dan hak mereka.
Kedua, Kementerian Dalam Negeri melalui Perkhidmatan Pekerja Asing dan Jabatan Imigresen Malaysia yang bertanggungjawab meluluskan permohonan kemasukan pekerja asing dan kes-kes yang berkaitan dengan mereka.
Jumlah pekerja asing sehingga Mac 2008 adalah seramai 2.12 juta orang dan menurun kepada 2.06 juta orang pada Disember 2008. Kira-kira 60 000 orang telah dikurangkan dalam pengambilan sepanjang tempoh itu.
Pada awal Mac 2009 yang lepas, akhbar Kosmo telah mendedahkan seramai 70 000 pekerja warga Bangladesh akan tiba pada pertengahan tahun ini. Perkara ini telah didedahkan oleh Atase Buruh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, Talat Mahmud Khan.
Menteri Dalam Negeri pula menyatakan bahawa jumlah tersebut sehingga dibenarkan pada 31 Disember 2007 iaitu ketika negara menikmati kemakmuran ekonominya.
Jika tidak berlaku krisis ekonomi di Malaysia, sudah pasti pekerja asing akan bertambah kira-kira 2.8 juta lagi bahkan tidak mustahil jika ia lebih daripada itu.
Terbaru, rancangan 999 di TV3 telah mendalami tabiat warga asing yang menetap di suatu tempat sehingga boleh mencetuskan rasa ketakutan dan rimas dikalangan penduduk tempatan.
Perkara ini bukan baru bahkan ia sering diulang tayang di media eletronik terutamanya ketika musim-musim perayaan. Mereka bersidai di kompleks-kompleks membeli belah sambil mengadakan ‘reunion’.
Maka timbul pula persepsi negatif dan rasa inferior rakyat Malaysia. Di antara impak besar kelembapan ekonomi di Malaysia adalah isu perberhentian pekerja (retrenchment workers) di pelbagai sektor.
Beberapa minggu yang lepas, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa kadar penggangguran akan meningkat sehingga 4.5% pada tahun 2009 jika dibandingkan hanya 3.7% pada tahun 2008.
Pegawai Kanan Kementerian Sumber Manusia, Sh Yahya Sh Mohamed berkata seramai 38 000 pekerja telah diberhentikan dan dijangka akan meningkat sehingga 50 000 pada tahun ini. Daripada jumlah tersebut, 85% terdiri daripada pekerja-pekerja di sektor pembuatan (manufacturing).
Namun begitu, ia tidaklah seburuk krisis Ekonomi Asia pada tahun 1997/1998 yang melibatkan seramai 84 000 orang pekerja yang diberhentikan.
Ekoran daripada nasib malang rakyat Malaysia ini, pihak kerajaan telah mengambil tindakan segera untuk membantu dan menyelamatkan periuk nasi mereka disamping menghadkan faktor-faktor luar yang menghalang tindakan ini.
Antara tindakan baik yang dibuat oleh kerajaan ialah membekukan pengambilan pekerja asing dan mengurangkannya sehingga meletakkan sasaran 1.8 juta menjelang 2010, menaikkan levi pekerja asing sekali ganda daripada RM 1 600 kepada RM 3 200, menyediakan tabung peberhentian pekerja dan menyuntik insentif untuk pekerja yang telah diberhentikan seperti menawarkan latihan dan pengambilan kerja di sektor awam secara besar-besaran.
Pihak kementerian perlu menyusun secara sistematik supaya pekerja-pekerja yang telah diberhentikan ini akan menggantikan pekerja-pekerja asing selain daripada sektor pembinaan, perkhidmatan khususnya pembantu rumah dan pelayan restoran serta pertanian atau perladangan.
Maka, sepatutnya akan berlaku penghantaran beramai-ramai pekerja asing ke negara mereka secara beransur-ansur. Tidak dinafikan, sektor-sektor swasta sanggup untuk membayar levi yang agak tinggi asalkan kos operasi mereka pada paras rendah atau sederhana setiap bulan.
Persoalan yang perlu ditanya kepada rakyat tempatan adalah sejauhmana kita bersedia untuk mengisi ruang-ruang yang kosong dan bekas peninggalan 3 sektor yang disebutkan diatas.
Adakah kita mahu menerima gaji yang murah sekitar RM 300 hingga RM 600 sebulan?
Pada waktu ini, maka kita masih menunggu kerajaan mengenai keputusan penetapan gaji minima sebanyak RM 900 sebulan.
Bagi pihak kerajaan, mereka sepatutnya meletakkan sasaran yang jelas maksimum jumlah pekerja asing yang boleh dibenarkan di negara kita sepertimana mereka boleh meletakkan sasaran kemiskinan sifar pada tahun 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan