SINAR HARIAN ONLINE
KLANG – Polis kini memantau secara serius kewujudan premis perjudian haram apabila 214 premis diserbu melibatkan 1,991 rampasan mesin slot bernilai hampir RM1 juta dalam beberapa serbuan sekitar Klang sejak Januari tahun ini hingga kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamed Mat Yusof berkata, dalam operasi terkini sejak Jumaat lalu, di sekitar Kapar, Sungai Kapar Indah, Bukit Tinggi dan Pelabuhan Klang, sebanyak 107 serbuan dibuat melibatkan tangkapan seramai 36 orang pemain termasuk penjaga premis.
“Kita sedang memantau premis haram terbabit dipercayai didalangi sindiket-sindiket tertentu yang bersembunyi di sebalik perniagaan komputer secara tertutup.
“Serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam sama ada melalui dialog, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan surat. Kebanyakan aduan diterima daripada isteri tentang kegilaan suami yang minat berjudi,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.
Mohamed berkata, bagi mengelakkan operasi dihidu pihak berkuasa, mereka melengkapkan premis dengan Kamera Litar Tertutup (CCTV) serta pintu automatik.
“Sesetengah pemain yang ditangkap juga merupakan orang buruan polis dalam beberapa kes jenayah berdasarkan pengenalan diri mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan