SINAR HARIAN ONLINE
BATU CAVES – Pemimpin Pertubuhan Hindraf, P Uthayakumar berkata, beliau merancang untuk mengadakan satu perhimpunan berteraskan prinsip demokrasi pada pertengahan Jun depan.
Beliau berkata, perhimpunan yang bakal diadakan di sekitar Kuala Lumpur itu dijangka dihadiri seramai 10,000 orang yang terdiri di kalangan penyokong-penyokong Hindraf dan juga penyokong prinsip demokrasi.
“Setakat ini saya belum dapat memutuskan sebarang keputusan berhubung perkara yang akan dibawa pada perhimpunan itu dan sedang menerima maklum balas serta respons daripada orang ramai terutamanya penyokong Hindraf,” :katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas upacara sembahyang di Kuil Batu Caves di sini, semalam.
:Menurutnya, itu merupakan majlis yang pertama dihadirinya sebagai tanda kesyukuran selepas seminggu dibebaskan dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Kem Tahanan Kemunting, Taiping pada 9 Mei lalu.
:Beliau yang sebelum ini ditemui dalam keadaan rambut tidak bersikat dan membiarkan janggut panjang sebagai tanda protes terhadap ISA, akhirnya berimej baru setelah mencukur janggut dan memotong rambut yang disimpan selama 542 hari bermula dari beliau ditahan.
:Dianggarkan seramai 2,000 ahli penyokong Hindraf yang hadir majoriti mereka berpakaian jingga dan 200 orang turut mengambil bahagian dalam acara membotakkan kepala sebagai tanda memberi sokongan terhadap beliau.
Uthayakumar berkata, dua lagi rakannya yang dibebaskan tidak dapat turut serta dalam majlis itu, kerana mereka telah menandatangani surat yang tidak membenarkan mereka menyertai sebarang majlis setelah dibebaskan dari ISA.
“Saya tidak menandatangani surat itu saya dapat menyertai majlis ini dan pada 19 Mei ini pihak polis meminta saya ke Kemunting, namun saya tidak akan berbuat demikian kerana mengikut undang-undang saya dibebaskan tanpa syarat dan saya tidak akan pergi,” katanya.
Beliau yang ceria ditemani isteri dan keluarga, turut melahirkan rasa gembira kerana adiknya Waythamoorty yang membawa diri ke London selepas beliau ditahan ISA akan pulang ke Malaysia pada bulan depan.
“Saya minta kerajaan Malaysia segera membebaskan 10 sahaja lagi yang masih ditahan di ISA dan memansuhkan ISA,” katanya.
Pada 9 Mei lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membebaskan 13 tahanan ISA termasuk tiga pemimpin Hindraf iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alam Shah M Manoharan, 48, Uthayakumar, 47 dan K Vasantha Kumar, 36 yang ditahan sejak Disember 2007.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan