Oleh Siti Nurazlinee Azmi
KUALA LUMPUR: Tiga anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman dan seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap lapan tuduhan merompak lapan pelajar, pada April lalu.
Tertuduh, tiga anggota UTK yang kini digantung tugas Koperal Sabaruddin Harun, 32; Pemangku Koperal Ahmad Razi Abd Talib, 27; Lans Koperal Aminuddin Salim, 28 dan Zaidi Abdullah@Mohd Yusoff, 34, memohon untuk dibicarakan terhadap tuduhan itu.
Mereka didakwa merompak wang tunai RM320, lapan telefon bimbit, dua cermin mata, tiga minyak wangi, rantai emas, gelang perak dan dua cincin milik Tan Kai Huat, 35; Liang Hwa Lei, 40, Liang Sin Yee, 17; Tan Thiam Heng, 15; Lee Kah Wai, 24; Liang Chun Loong, 21; Tan Thiam Keong, 13 dan Liang Min Kong, 15.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di No 115 Jinjang Selatan Tambahan, Sentul di sini, jam 11 malam, 11 April 2009.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Sabaruddin juga menghadapi satu lagi tuduhan iaitu menunjukkan senjata api jenis ‘glock’ ke atas Sin Yee ketika melakukan rompakan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, yang boleh dihukum penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt menawarkan jaminan RM24,000 untuk semua tuduhan bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Sabarudin dengan alasan dia menghadapi dua tuduhan termasuk mengikut Akta Senjatapi.
Hakim Zainal Abidin Kamarudin kemudian memerintahkan Ahmad Razi, Aminuddin dan Zaidi dikenakan jaminan RM10,000 bagi lapan tuduhan dengan seorang penjamin.
Zainal Abidin turut mengenakan syarat iaitu, mereka perlu melapor diri di Balai Polis Bukit Aman setiap minggu kecuali Zaidi di Balai Polis Melaka Tengah, setiap dua minggu.
Peguam semua tertuduh, Pritam Singh Doal memohon supaya mahkamah membenarkan Sabaruddin diikat jamin kerana anak guamnya menghidapi sakit tulang.
Sabaruddin tidak ditawarkan jaminan dan mahkamah menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan semula kes ini dan meneliti laporan perubatan Sabaruddin bagi mahkamah mempertimbangkan semula jaminannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan