UTUSAN ONLINE
SHAH ALAM - Kerajaan negeri sedang mengesan 31 lagi penumpang beralamat di Selangor yang menaiki Penerbangan Malaysia MH091 dan AirAsia AK5358 berhubung kes influenza A (H1NI).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier A. Jayakumar berkata, 23 daripada penumpang itu menaiki pesawat AK5358 dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang ke Pulau Pinang pada 13 Mei lalu.
Beliau berkata, lapan lagi termasuk empat rakyat asing yang sedang dicari adalah penumpang pesawat MH091 dari New York, Amerika Syarikat (AS) yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), juga hari yang sama.
"Sehingga kini Jabatan Kesihatan negeri masih gagal mengesan mereka walaupun menggunakan alamat terakhir termasuk di hotel-hotel kerana mereka bergerak ke tempat lain.
"Tetapi kita percaya mereka masih berada di negeri ini," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan negeri di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan rambang di lima ladang babi di Tanjung Sepat, Sepang minggu lalu berhubung wabak yang boleh mengorbankan nyawa itu.
"Kesemua ternakan di ladang itu didapati tiada simptom influenza A," ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai segera mendapatkan rawatan di hospital jika diserang demam atau selesema bagi memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya jika mereka disahkan positif H1N1.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan