Oleh THOMAS CHONG
SEPANG - Tambang teksi dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) akan dinaikkan supaya ia selaras dengan tambang teksi dari terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tambang teksi bajet dari LCCT ke Kuala Lumpur (KL) yang dikenakan pada masa ini ialah RM61 manakala tambang dari KLIA ke ibu negara adalah RM67.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (gambar) berkata, jarak LCCT-KL adalah lebih jauh berbanding jarak KLIA-KL.
''Walaupun jarak antara dua lapangan terbang ini ialah kira-kira 13 kilometer tetapi pada masa ini tambang teksi dari LCCT ke KL adalah lebih murah berbanding dari KLIA ke KL.
''Keadaan ini tidak adil kepada pemandu teksi LCCT dan LPKP telah diminta untuk memperbetulkan tambang teksi yang ada. Perkiraan tambang baru adalah berdasarkan jarak perjalanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pemandu dan pengusaha pengangkutan awam LCCT, Malaysia Airport Berhad (MAB), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan LPKP di LCCT di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, pengeluaran permit teksi LCCT akan dibekukan dengan serta-merta kerana jumlah teksi di lapangan terbang itu adalah mencukupi.
''Pada masa ini sebanyak 1,512 permit teksi LCCT telah dikeluarkan dan ia akan dikekalkan.
''Keputusan ini dibuat kerana pemandu teksi sedia ada menghadapi kesukaran untuk mendapatkan penumpang, mereka hanya dapat melakukan tiga perjalanan setiap hari," katanya.
Mengenai masalah teksi haram pula, Mohamed Nazri berkata, pemandu teksi di LCCT telah mencadangkan supaya pemeriksaan dijalankan di laluan keluar lapangan terbang untuk membendung aktiviti tersebut.
''Saya akan membincangkan perkara ini dengan menteri berkenaan yang bertanggungjawab terhadap JPJ dan polis supaya pemeriksaan sedemikian boleh dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata, semua teksi ulat yang ditangkap akan diberi surat tunjuk sebab sebelum dikenakan tindakan tegas oleh LPKP.
''Sekiranya kita tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan, maka permit teksi mereka akan dibatalkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan