BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tindakan menghentikan sementara visa umrah kepada kepada rakyat Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga membendung Influenza A (H1N1).
Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mohamed Reda Abu al Hamayel, berkata pihaknya sedih dan terkejut dengan kenyataan itu kerana sehingga kini kedutaannya masih mengeluarkan visa umrah kepada rakyat Malaysia membabitkan sebanyak 38,663 visa.
“Untuk hari ini (semalam) saja, sebanyak 1,940 visa dikeluarkan kepada rakyat Malaysia.
“Kedutaan yang diwakili oleh saya dan kakitangan bersedia menerima sebarang pertanyaan daripada orang ramai yang ingin mendapat keterangan lanjut berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar ini kelmarin yang memetik akhbar Arab News bahawa visa mengerjakan umrah tidak dikeluarkan kepada rakyat Malaysia dan Mesir sebagai langkah berjaga-jaga membendung H1N1.
Kenyataan itu dikeluarkan seorang Pengarah Komputer di Tasheel United Company, Mahmoud Abul Majib, yang menguruskan jemaah umrah di Arab Saudi.
Mahmoud berkata, larangan terhadap jemaah dari negara di mana kes H1N1 disahkan, menyebabkan penurunan mendadak jumlah jemaah yang tiba sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Katanya, hanya 3,000 jemaah tiba kelmarin, berbanding 10,000 jemaah setiap hari sebelum ini.
Kementerian Haji Arab Saudi mengeluarkan lebih 1.6 juta visa umrah musim ini yang bermula 14 Januari lalu dan daripada jumlah itu, 1.3 juta jemaah sudah tiba.
Sementara itu, di PUTRAJAYA, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata tidak ada halangan untuk rakyat Malaysia menunaikan umrah pada masa ini kerana kerajaan tidak menerima sebarang arahan berkaitan pengeluaran visa oleh Arab Saudi.
"Buat masa sekarang tiada arahan dan larangan kepada rakyat Malaysia daripada menunaikan umrah," katanya kepada media sempena lawatan ke Kompleks Masjid Presint 3, di sini, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan