Oleh NORAINI NORDIN
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengemukakan cadangan supaya seramai 33,475 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara diserap ke jawatan tetap bagi membela kebajikan mereka.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz berkata, permohonan tersebut dibuat oleh Jakim kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan sejak pertengahan tahun lalu.
''Jakim sedang menanti keputusan tersebut. Kita sangat prihatin dan amat menyedari nasib yang dialami guru KAFA.
''Isu ini menjadi keutamaan bagi memastikan semua guru KAFA dapat menikmati faedah dan kebajikan yang sama dengan pekerja-pekerja lain di negara ini.
''Saya difahamkan cadangan itu sedang dikaji dan diteliti dengan lebih mendalam,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menyerap lebih 33,000 guru KAFA di seluruh negara ke jawatan tetap supaya kebajikan mereka terbela.
Presiden CUEPACS, Omar Osman dalam kenyataannya 16 Mei lalu berkata, pada masa ini guru KAFA di seluruh negara berkhidmat secara kontrak dan tidak layak menerima kemudahan seperti pinjaman perumahan, perubatan serta cuti mengerjakan ibadah haji.
Menurut Omar, langkah menyerapkan guru KAFA ke jawatan tetap akan melayakkan mereka menerima imbuhan serta kemudahan seperti guru lain di dalam skim perkhidmatan pendidikan.
Wan Mohammad berkata, sejumlah 1.03 juta kanak-kanak Islam di negara ini mengikuti kelas KAFA di seluruh negara.
''Peranan guru KAFA sangat penting dalam mendidik kanak-kanak Islam mengaji dan mendalami Islam,'' katanya.
Beliau berkata, selain itu, Jakim juga memperjuangkan nasib penyelia-penyelia KAFA yang berkhidmat di seluruh negara.
Katanya, buat permulaan JPA meluluskan jawatan kontrak penyelia KAFA bersandarkan skim Pembantu Hal Ehwal Islam Gred S17 pada akhir bulan lalu.
''Sebanyak 383 jawatan penyelia diperuntukkan dan Jakim sedang mengurus penyerapan pelantikan kepada penyelia berdasarkan prosedur lantikan penjawat awam.
''Sebanyak RM2.44 juta diperuntukkan untuk gaji penyelia kontrak pada tahun ini,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan