HALAMAN SANTAI

Isnin, 18 Mei 2009

Lebih 23,000 kekosongan jawatan masih belum diisi

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Lebih 23,000 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor masih gagal diisi antara lain disebabkan oleh sikap rakyat negara ini yang terlalu memilih pekerjaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, ketika ini hanya 7,756 daripada 31,049 kekosongan berdaftar dalam pelbagai bidang telah diisi hasil selepas pelbagai usaha dijalankan oleh kementerian bagi membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

Bagaimanapun katanya, terdapat pencari kerja terutama golongan muda yang terlalu memilih pekerjaan dengan memberi pelbagai alasan termasuk tidak selesa dan gagal menyesuaikan diri.

Malah katanya, beliau dimaklumkan ada rakyat tempatan yang sedang mencari pekerjaan lebih sanggup menganggur kerana berpendapat, jawatan atau pekerjaan yang ditawarkan tidak bersesuaian.

''Ada pula yang diterima bekerja tetapi datang sekejap sahaja dengan alasan tidak selesa dan tidak dapat menyesuaikan diri.

''Mungkin keadaan mereka masih tidak mendesak, terutama golongan muda yang masih bergantung kepada orang lain terutama ibu bapa mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penempatan Pekerjaan peringkat negeri Pahang 2009 yang diadakan di Wisma Belia, Indera Mahkota di sini hari ini.

Program sehari itu disertai 38 syarikat dengan kekosongan yang ditawarkan melebihi 5,000 jawatan dalam pelbagai kategori.

Menurut Maznah, lebih banyak peluang pekerjaan terutama dalam sektor perkhidmatan dan keselamatan dijangka wujud berikutan keputusan kerajaan menghantar pulang dan tidak menyambung permit pekerja asing yang sudah tamat tempoh.

Beliau memberitahu, sehingga kini, kira-kira 200,000 pekerja asing tidak disambung permit kerja mereka selepas ia tamat dalam tempoh antara 3 hingga 5 tahun dan kekosongan yang ada itu boleh diisi oleh pekerja tempatan.

Dalam pada itu katanya, bilangan pekerja yang telah diberhentikan sejak Oktober 2008 sehingga 15 Mei lalu berjumlah 33,809 orang membabitkan 1,122 buah syarikat.

Tiada ulasan: