HALAMAN SANTAI

Isnin, 18 Mei 2009

Nasib rakyat Malaysia di Guantanamo diketahui akhir bulan

BERITA HARIAN ONLINE


SEPANG: Keputusan pembebasan dua rakyat Malaysia dari pusat tahanan Teluk Guantanamo, Amerika Syarikat akan diketahui akhir bulan ini, kata Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.

Katanya, perkara itu dibincangkan pada pertemuan beliau bersama Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton di Wa-shington D.C., Khamis lalu.

“Kerajaan masih menunggu hasil siasatan dua tahanan Malaysia di Teluk Guantanamo yang dijangka siap akhir bulan ini.

“Saya sudah memaklumkan kepada beliau (Hillary) bahawa kita memohon dua warga negara kita di Guantanamo dibawa balik apabila tamat siasatan Jabatan Negara Amerika dan beliau memaklumkan kepada saya ia akan dibuat secepat mungkin.

“Saya memberikan jaminan kedua-dua tahanan itu akan dihadapkan ke mahkamah Malaysia untuk tindakan undang-undang jika benar mereka didapati bersalah," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang dari lawatan kerja dua hari di Washington.

Dua rakyat Malaysia terbabit ialah Mohd Farik Amin atau Zaid (Zubair) dan Mohammed Nazir Lep atau Bashier Lep (Lillie) yang ditahan sejak 2003.

Anifah berkata, pertemuan dengan Hillary berlangsung dalam suasana mesra dan padat dengan perbincangan mengenai pelbagai isu termasuk konflik di Gaza, Palestin dan masalah lanun di Teluk Eden.

Anifah berkata, beliau juga menyampaikan dengan tegas mengenai pendirian Malaysia terhadap konflik Asia Barat di Gaza, sekali gus meminta jasa baik Amerika untuk menangani isu berkenaan dengan jujur dan berhemah.

"Saya maklumkan kepada beliau bahawa jika Amerika dapat menyelesaikan masalah ini, dunia akan lebih menghormati mereka, khususnya negara-negara Islam," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Anifah menegaskan beliau sedia disaman dan tidak akan meminta maaf berhubung kenyataannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menawarkannya jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai umpan melompat parti selepas pilihan raya umum 2008.

Katanya, dirinya tetap berpegang dengan kenyataan itu meskipun Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mahu beliau menariknya semula dan memohon maaf dalam tempoh 24 jam atau menghadapi saman.

"Ya saya bersedia hadapi saman... saya tak ada masalah dengan perkara itu. Saya tidak akan minta maaf, saya rasa itu perkara remeh,” katanya.

"Sebagai Menteri Luar, banyak perkara lain yang perlu diatasi dan dilakukan. Anwar adalah perkara yang tidak perlu dihiraukan sama sekali," katanya.

Tiada ulasan: